Majlis Makan Malam Alumni Seribu Kenangan Bertemakan "Sireh Pulang ke Gagang" Sempena Festival REIACt Day 2023

MACHANG, 01 November - Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri dan Alumni UiTM Cawangan Kelantan buat julung kalinya telah mengadakan Majlis Makan Malam Alumni Seribu Kenangan bertemakan "Sireh Pulang ke Gagang" bertempat di Dewan Profesional UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang yang telah disertai oleh seramai 180 orang alumni UiTMCK pada 28 Oktober 2023.

Majlis Makan Malam Alumni Seribu Kenangan ini telah dirasmikan oleh Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Malaysia. Turut menghadiri majlis yang cukup gemilang lagi meriah ini adalah Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Penolong Naib Canselor MASMED, Ts. Dr. Nik Roselina Nik Reseley, Pengarah Pusat Keusahawanan Mahasiswa MASMED, Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan serta Pengurusan Kanan UiTMCK. Sempena majlis makan malam alumni ini juga, UiTMCK telah melantik dua orang Duta Alumni UiTMCK 2023 iaitu Mejar Bersekutu Dato' Wan Azhar Yusoff, CEO, A to Z Management Consultant dan juga Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari, CEO, Nouvelles Visege & Ikon Wanita Negeri Selangor 2022 & 2023.

Majlis dimulai dengan Persembahan Silat Cekak, yang dipersembahkan oleh pelajar UiTMCK. Selain itu, majlis juga diserikan dengan persembahan tarian Wau Bulan dari Persatuan CUTE yang juga merupakan pelajar UiTMCK. Majlis bertambah meriah dengan kehadiran dan persembahan penyanyi jemputan tersohor dari Kelantan iaitu Fendi Kenali dan Den Manja. Majlis juga diselang seli dengan cabutan-cabutan bertuah yang hadiahnya cukup lumayan, dan antara hadiah utama adalah sebuah basikal serta dua buah treadmill yang telah disumbangkan oleh alumni UiTMCK.

Semoga pada masa akan datang, majlis sebegini akan diteruskan dengan pelbagai aktiviti dan persembahan. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Makan Malam Alumni UiTM Cawangan Kelantan.

Penyedia Laporan:
Puan Shalwati Ramli
Penolong Pendaftar Kanan
Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri dan Alumni