KOTA BHARU, 14 Jun – Program Seminar Pemantapan Akidah Tahun 2023 anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu telah diadakan di Dewan Hassan Said (DHS) pada 8 Jun 2023. Program yang bertemakan Akidah Sejahtera, Ummah Bahagia ini telah diadakan secara bersemuka melibatkan penyertaaan seramai 112 orang pelajar mahasiswa dari UiTM cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan Machang. Selain itu, bagi memberi ruang penyertaan yang lebih luas kepada mereka yang tidak dapat hadir secara bersemuka dalam program ini, pihak urusetia program telah menyediakan kemudahan secara atas talian menerusi platform WeBex yang telah disertai seramai 488 orang warga UiTM dan warga JAHEAIK.
Program seminar ini dimulakan dengan Sesi 1: penyampaian ceramah bertajuk Asas Akidah Islam oleh Dr. Nawi@Mohd Nawi bin Ismail (Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaya Kelantan (UMK). Seterusnya program ini diteruskan dengan Sesi 2: Forum Cabaran Akidah Masa Kini yang menampilkan 3 ahli panel telah dikendalikan oleh Ustaz Mohamad Hilmi Zakaria (Pegawai Dakwah Pejabat Agama Jajahan Kota Bharu) selaku moderator forum, 2 orang barisan ahli panel iaitu Dr. Ahmad Murshidi bin Mustapha, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) sebagai ahli Panel 1, dan Dr. Mohamad Hilmie bin Mat Daud, Penolong Pengarah Kanan Dakwah JAHEAIK sebagai ahli Panel 2.
Ucapan perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh Dr. Hasnan bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah Operasi, (JAHEAIK) yang mewakili Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Dato Lela Perkasa Dato Haji Che Mohd Rahim bin Jusoh. Antara intipati penting ucapannya, beliau menjelaskan bahawa usaha murni untuk memberikan pendedahan dan maklumat tentang kepentingan memahami asas akidah Islam dan cabaran akidah masa kini perlu diberikan keutamaan dengan menekankan kepada keperluan untuk mendapatkan kefahaman Islam sebenar agar dapat menangkis dakyah dan pengaruh negatif dalam kehidupan era moden.
Semoga dengan adanya jalinan baik kerjasama JAHEAIK-UiTMCK, program seumpama ini dapat memberikan impak positif dan manfaat kepada semua warga kampus terutamanya kepada mahasiswa/i UITM. Akhir kata, pihak UiTMCK Kampus Kota Bharu merakamkam ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak JAHEAIK kerana telah memberikan tajaan sepenuhnya dan telah memilih UiTMCK Kampus Kota Bharu sebagai tuan rumah penganjuran program seminar ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung menjayakan program seminar ini.
Penyedia Laporan:
Encik Mohd Khusyairie Marzuki
Penolong Pendaftar Kanan
UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu