Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Maybank Islamic Kepada Asnaf UiTM Cawangan Kelantan 2023

MACHANG, 14 Jun - Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Maybank Islamic Kepada Asnaf UiTM Cawangan Kelantan 2023 yang dianjurkan oleh Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf UiTM Cawangan Kelantan telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan.

Program ini secara langsung telah menjalinkan hubungan yang baik diantara pihak Maybank Islamic dengan UiTM Cawangan Kelantan. Antara wakil Maybank Islamic yang hadir adalah Ahmad Farid Qoureshmi (Regional Director Wilayah Timur), Shahril Umran (Manager Tanah Merah), Zamri Mat Hassan (Head Consumer Banking) dan Mohd Razuhan (Head Service & Supervision). Dalam majlis ini, Ahmad Farid Qoureshmi telah menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM100,000.00 dalam bentuk replika cek untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar asnaf. Beliau juga telah menyampaikan sumbangan kepada 10 orang pelajar yang terpilih sebagai simbolik kepada penyerahan sumbangan zakat tersebut.

Program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan melalui sumbangan zakat yang diberikan oleh pihak Maybank Islamic. Ia dapat diagihkan kepada asnaf pelajar yang merangkumi bantuan sara hidup, yuran pengajian, yuran penginapan, bantuan kecemasan dan musibah. Dengan sumbangan ini, dapat meringankan beban perbelanjaan pendidikan asnaf sekaligus meringankan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga bagi menyediakan keperluan pendidikan tinggi. Majlis ini juga menjadi medium bagi menjalankan dakwah dan kebajikan asnaf dengan lebih tersusun dan menyeluruh.

Semoga majlis ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia banyak memberi manfaat kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Ia juga salah satu cara untuk menjaga kebajikan pelajar yang mana selari dengan kehendak UiTM Cawangan Kelantan khasnya.

Penyedia laporan:
Dr. Noraini Junoh
Setiausaha
Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf