KOTA BHARU, 13 Jun - Program Ekspo Selangkah ke UiTM 2023 (ESKU 2023) telah berjaya dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Program ESKU 2023 ini telah diadakan selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Mei 2023 bertempat di Bazar Tok Guru, Kota Bharu, Kelantan.
Program Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) merupakan satu acara tahunan yang diadakan pada setiap tahun oleh UiTM Cawangan Kelantan. Cuma pada tahun ini, ada sedikit kelainan di mana ESKU 2023 telah diadakan di luar kampus UiTMCK, iaitu di Bazar Tok Guru dan bekerjasama dengan PMBK untuk menganjurkan program ini. Gabungan strategik yang padu ini melibatkan kekuatan akademik daripada UiTM Cawangan Kelantan dan keusahawanan daripada PMBK, diharapkan akan menjadi “pemangkin” untuk melahirkan “Usahawan Cendekiawan” di Negeri Kelantan.
Selama dua hari Program ESKU 2023 ini berlangsung, pelbagai aktiviti menarik yang telah dianjurkan. ESKU 2023 telah menawarkan beberapa perkhidmatan seperti semakan kelayakan program secara online, rundingan akademik, serta tapak pameran fakulti yang pastinya sedia membantu semua hadirin yang hadir khasnya kepada anak-anak lepasan SPM, STPM dan STAM. Bukan itu sahaja, ESKU 2023 ini juga menawarkan pelbagai aktiviti kupon cabutan bertuah. Hadiah utama ialah komputer riba serta hadiah-hadiah menarik yang lain lagi. Bagi membolehkan pengunjung menyertai cabutan bertuah ini, haruslah membeli-belah dahulu di dalam Bazar Tok Guru dengan nilai barangan serendah RM20 di gerai/ kedai yang ada stiker ESKU2023 sahaja. Lebih menarik lagi, ESKU 2023 ini ada sesi soal jawab bersama pengunjung dan pengusaha gerai, ini adalah salah satu cara kerjasama yang baik dan positif antara mahasiswa dan orang awam.
Bukan sahaja berpeluang menganjurkan program ESKU 2023 di Bazar Tok Guru buat julung kalinya, malah lebih bermakna lagi, Yang Berhormat Dato' Hajah Mumtaz Bt. Md. Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita Negeri Kelantan telah sudi hadir bagi merasmikan Program Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU) 2023 ini. Turut hadir ke Majlis Perasmian ESKU 2023 adalah Encik Wan Mohd Husni Wan Osman, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Kehadiran Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Hj. Abdol Samad Nawi bersama dif-dif jemputan lain telah memeriahkan lagi majlis tersebut.
Penyedia Laporan:
Puan Norhafizan Awang
Setiausaha 1
Program ESKU 2023