Kunjungan dan Lawatan Wakil Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Indonesia

KOTA BHARU, 13 Jun - Pada 7 Mac 2023 (Selasa), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menerima kunjungan delegasi daripada Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Indonesia. Mereka ialah Dekan Fakultas Ekonomi, Prof. Dr. Heru Sulistyo, SE,M.Si., Dr. Agustina Fitrianingrum dan Pungky Lela Saputri, SST., M.E. Kehadiran mereka disambut oleh Ketua Pusat Pengajian FPP, Dr. Azmahani Yaacob dan beberapa wakil FPP iaitu Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed, Dr. Mariam Setapa, Dr. Tismazammi Mustafa dan En. Azwan Shah Aminuddin.

Perjumpaan dan mesyuarat diadakan di UiTM Kampus Kota Bharu bagi membincangkan beberapa agenda iaitu program pertukaran pelajar antara kedua-dua institusi, visiting professor, kerjasama di dalam penyelidikan dan perkhidmatan komuniti antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia. Hasil daripada rundingan ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang dijangka akan diadakan tahun ini. 

Usai perbincangan, tetamu dari seberang diraikan dengan jamuan makan tengahari bertemakan menu tradisional Kelantan iaitu Nasi Kerabu dan beberapa hidangan sampingan yang lain. Semasa sesi jamuan ini, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar pandangan mengenai kedua-dua institusi masing-masing di dalam mengenalpasti peluang kerjasama lain di masa akan datang.

Pertemuan bermakna ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati daripada kedua-dua pihak. UiTMCK secara umumnya dan FPP secara khasnya sangat berbangga dengan kehadiran mereka ini dan diharapkan agar perancangan mengadakan kerjasama ini akan dapat direalisasikan pada masa akan datang.

Penyedia Laporan:
Dr. Mariam Setapa
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan