MACHANG, 30 Mei - Bahagian Pentadbiran dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah UiTM Cawangan Kelantan pada 25 Mei 2023. Majlis ini telah dirasmikan oleh YABrs. Tuan Rosli bin Husain, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan dan telah dihadiri oleh 572 staf Akademik dan Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan.
Majlis telah dimulakan dengan ceramah yang bertajuk Kesalahan-Kesalahan Rasuah bawah ASPRM dan Perkongsian Kes Perolehan Dana Kerajaan dan telah disampaikan oleh YBrs. Puan Wan Siti Junaida binti Ismail, Ketua Bahagian Pendidikan Masyarakat.
UiTM Cawangan Kelantan terus dan sentiasa komited berkenaan isu melibatkan pencegahan rasuah dan salah guna kedudukan ini dibuktikan dengan jelas melalui Pekeliling Naib Canselor Bil 6 Tahun 2016 mengenai kewajiban staf untuk melaporkan transaksi penyogokan yang berlaku di UiTM terus kepada Unit Integriti dan SPRM.
Ikrar Bebas Rasuah merupakan Inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Januari 2017 yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu untuk menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.
Faedah program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan isu melibatkan rasuah dan salah guna kedudukan; dan galakan kepada staf untuk melaporkan kes rasuah dan salah guna kedudukan.
YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Rektor dalam ucapannya sangat percaya, integriti dalam menangani rasuah ini dapat melahirkan warga UiTM yang berintegriti dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta menjauhkan diri dari sebarang rasuah di sepanjang tempoh perkhidmatan. Ini kerana tanggungjawab mencegah rasuah bukanlah jatuh secara inklusif kepada SPRM semata-mata. Ini kerana sebagai sebuah universiti terbesar di Malaysia, semua staf wajib untuk menjaga nama baik universiti agar tidak tercalar dari penglibatan dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.
Majlis diakhiri dengan ucapan ikrar yang diketuai oleh YBhg. Rektor dan disaksikan oleh semua barisan pegawai SPRM. Rektor juga telah menandatangani Borang Ikrar Bebas Rasuah bersama semua staf UiTM Cawangan Kelantan.
Penyedia laporan:
Puan Wan Noor Azwani Wan Abd Rasid
Pegawai Eksekutif
Bahagian Pentadbiran