SUMBER -- BERITA HARIAN
Machang: Seramai 41 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Machang menerima sumbangan dalam program Bantuan UiTM Prihatin berjumlah RM20,500.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed, berkata program bantuan anjuran Unit Misi Akademik dan Prapendidikan Tinggi UiTM Cawangan Kelantan adalah bertujuan meringankan beban pelajar daripada golongan yang kurang berkemampuan terutama mereka yang berasal dari keluarga B40. Katanya, setiap pelajar menerima wang sumbangan sebanyak RM500 iaitu inisiatif UiTM yang mewujudkan program Bantuan UiTM Prihatin sejajar dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar golongan B40 menjadi insan yang berjaya dan cemerlang.
“Progran sumbangan seperti ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan agar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat sekali gus memperkasakan IPT di negara ini. “Pelancaran Bantuan UiTM Prihatin yang menjadi wadah pemerkasan pendidikan anak bangsa ini terus diperluaskan untuk membantu melebar luas akses pendidikan seterusnya memberi peluang kepada pelajar golongan B40 untuk meningkatkan taraf sosioekonomi serta menampung kekurangan bagi tujuan pendidikan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.