sumber --BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1912965
MACHANG, 16 Dis -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan Kampus Machang di sini memperuntukkan sebanyak RM20,500 untuk membantu 41 pelajar dalam kalangan kumpulan B40 bagi meringankan beban berikutan penularan pandemik COVID-19.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed berkata setiap pelajar yang terpilih masing-masing mendapat sumbangan sebanyak RM500.
“Ia sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik agar menjadikan mereka insan yang berjaya dan cemerlang,” katanya semasa menyampaikan bantuan itu di UiTM Kampus Machang di sini hari ini.
Pelajar berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk anak-anak petani, pekebun kecil, nelayan dan bekerja kampung dari seluruh negara.
Zulkifli berkata program seperti itu dapat merealisasikan hasrat kerajaan agar institusi pengajian tinggi (IPT) dapat merapatkan hubungan bersama-sama masyarakat sekali gus memperkasakan IPT di negara ini.
“Selain itu, program UiTM Prihatin ini secara tidak langsung dapat membantu memajukan dan memberi sumbangan terhadap golongan B40 daripada segi pembangunan sosioekonomi,” katanya.