KOTA BHARU: Atlet di negeri ini berpeluang melanjut pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan bagi membolehkan mereka melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan UiTM bagi membolehkan atlet yang tercicir menyambung pengajian.
Katanya, kerjasama itu dijalin melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan UiTM Cawangan Kelantan.
“MSN merancang untuk memperluaskan kerjasama dengan universiti-universiti tempatan bagi memberikan peluang atlet yang tercicir dalam akademik untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Ia memberi ruang kepada atlet yang tercicir dalam akademik menyambung pengajian di UiTM dengan syarat mereka memiliki sekurang-kurangnya tiga kredit peperiksaan SPM.
“Sehingga sekarang MSN menghantar seramai 20 atlet melanjut pengajian di peringkat diploma dalam bidang yang ditawarkan UiTM bermula pada 2019 hingga 2021,” katanya pada majlis menandatangani MoU di sini semalam.
Pada majlis tersebut Rektor UiTM Kelantan Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed mewakili UiTM dan MSN diwakili pengarahnya Muhammed Imran Mansoor.
Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO
berharap atlet yang memiliki kelulusan akademik mampu membina kehidupan lebih baik selepas bersara dari bidang sukan.
Dr Zulkifli pula berkata, MoU itu merupakan kesinambungan objektif MSN di bawah program Malaysian Athlete Career and Education (MACE).
SUMBER--HARAKAHDAILY 12/4
https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/12/atlet-tercicir-berpeluang-lanjut-pelajaran-ke-uitm/