Bengkel Pembangunan Web E-Dagang

MACHANG, 22 Ogos - Sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kelantan 2022, Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menganjurkan satu Bengkel Pembangunan Web E-Dagang pada 23 Julai 2022.  Program ini membuka peluang yang lebih luas kepada usahawan dan bakal usahawan dalam usaha mengembangkan perniagaan masing-masing.

Bengkel ini telah diadakan di dua (2) lokasi iaitu di Makmal Komputer UiTM Kampus Machang dan Makmal Komputer UiTM Kampus Kota Bharu dan telah dilaksanakan dari jam 8:00 pagi sehingga 5:00 petang. Turut bersama-sama memeriahkan program tersebut ialah para pensyarah dari UiTM Kampus Machang dan Kampus Kota Bharu. Pada sebelah petang, program dimeriahkan dengan kunjungan wakil-wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke Makmal Komputer UiTM Kampus Kota Bharu.

Program seperti ini sangat membantu perusahaan dan individu yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan untuk mengaplikasikan suasana dan teknologi baru dalam usaha pemasaran atas talian. Semoga para peserta dapat membina jaringan sosial yang positif serta menjadikan bengkel ini sebagai titik permulaan dalam usaha memulakan perniagaan dalam talian. Selain itu, diharapkan peserta mendapat maklumat terkini dan pendedahan berkaitan strategi pemasaran atas talian dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka.

Penyedia Laporan:
Cik Nur Ainatul Mardiah Mat Nawi
Pensyarah
Fakulti Pegurusan Maklumat