Kunjungan Dekan Fakulti Perakaunan ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 9 Januari 2022 – Tahun baharu 2022 ini lebih bermakna kepada Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan apabila menerima kunjungan buat pertama kalinya Dekan Fakulti Perakaunan, Profesor Dr. Haslinda Yusof sejak pelantikan beliau.

Kunjungan tersebut yang diiringi Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik Fakulti Perakaunan, Dr. Roszana Tapsir bertujuan meraikan kejayaan para pelajar yang telah menerima anugerah dekan seramai 40 orang.

Anugerah juga turut disampaikan kepada pelajar-pelajar Sarjana Perakaunan (AC700) yang telah tamat “Graduate on Time” (GOT) seramai 13 orang serta pelajar pasca siswazah yang mendapat keputusan cemerlang pada semester baru-baru ini seramai 12 orang. Majlis itu juga bertujuan untuk mengiktiraf kejayaan para pensyarah Fakulti Perakaunan yang telah mendapat markah Students’ Feedback on Teaching (SUFO) terbaik seramai 20 orang serta pensyarah yang berjaya menamatkan pelajar Sarjana Perakaunan dengan taraf “Graduate on Time” (GOT).

Semua kejayaan ini turut diraikan dengan kehadiran wakil pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Kelantan yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed selaku Yang Menjalankan Tugas Rektor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Hj. Ghazali Osman serta Penolong Rektor Kampus Kota Bharu, Profesor Madya Ts. Dr. Nasir Ismail.

Dekan Fakulti Perakaunan juga turut mengambil peluang beramah mesra bersama para pensyarah Fakulti Perakaunan serta mendalami permasalahan mereka. Menurut Ketua Pusat Pengajian (KPP) Fakulti Perakaunan, Dr. Noor Marini Haji Abdullah, majlis ini diharapkan dapat merapatkan lagi jalinan antara fakulti kampus cawangan dan kampus induk serta menyuntik semangat kepada para pelajar serta pensyarah untuk lebih bekerja keras bagi mencapai kejayaan pada tahun baharu 2022 ini dan masa-masa akan datang.