Karnival Semarak Perpaduan Bahasa Peringkat PPD Machang Tahun 2025

Karnival Semarak Perpaduan Bahasa Peringkat PPD Machang Tahun 2025

MACHANG, 27 November - Karnival Semarak Perpaduan Bahasa Peringkat PPD Machang 2025 telah berlangsung pada 16 – 17 Julai 2025 di Bilik Seminar HRD A, UiTM Cawangan Kelantan, dengan penyertaan 117 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh daerah Machang. Program ini dianjurkan dengan kerjasama BPJIM&A UiTM Cawangan Kelantan, PPD Machang, dan SMK Hamzah 2, serta melibatkan penceramah dan fasilitator daripada kalangan pensyarah UiTM Cawangan Kelantan.

Program ini dirangka untuk mengatasi masalah penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar yang masih rendah, khususnya di kawasan luar bandar yang kurang terdedah kepada aktiviti bahasa interaktif. Sehubungan itu, objektif utama penganjurannya adalah untuk memupuk minat dan keyakinan pelajar dalam penggunaan bahasa, mengembangkan kemahiran asas berbahasa melalui pendekatan kreatif, serta mengukuhkan jaringan pendidikan antara UiTM Cawangan Kelantan dan sekolah-sekolah di bawah PPD Machang.

Para pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti Bengkel Let’s Play & Learn, pertandingan pidato, bercerita, Dare to Spell, dan deklamasi puisi. Kesemua aktiviti ini memberi peluang kepada para pelajar untuk berkomunikasi secara aktif, meningkatkan kreativiti serta mengaplikasikan strategi pembelajaran bahasa secara lebih menyeronokkan. Program ini menerima penyertaan aktif daripada guru serta pentadbir sekolah, menjadikan karnival ini wadah penting pemerkasaan bahasa dan perpaduan.

Majlis penutup program telah dirasmikan oleh Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTM Cawangan Kelantan, bersama kehadiran Encik Mohd Hazmi Ariffin, Timbalan PPD Machang. Turut hadir fasilitator, guru-guru, dan wakil-wakil sekolah yang menyokong pelaksanaan program ini.

Secara keseluruhannya, karnival ini memberi impak positif yang signifikan terhadap motivasi, kesedaran dan keyakinan pelajar dalam penguasaan bahasa, di samping memperkukuh jaringan kolaborasi pendidikan.
 
Penyedia Laporan:
Dr. Wan Noraswaniaty Wan Ahmad
Koordinator
ICAN 
 
Dr. Siti Rosnita Sakarji
Penyelaras
Unit Jaringan Komuniti