Simposium JPKNR UiTM Se-Malaysia 2025 Kukuhkan Suara Mahasiswa dan Tadbir Urus Kolej

Simposium JPKNR UiTM Se-Malaysia 2025 Kukuhkan Suara Mahasiswa dan Tadbir Urus Kolej

MACHANG, 10 November – UiTM Cawangan Kelantan telah menjadi tuan rumah kepada Simposium Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non-Resident (JPKNR) UiTM Se-Malaysia 2025, sebuah program berskala nasional yang menghimpunkan barisan kepimpinan pelajar kolej kediaman dari seluruh negara pada 30 Oktober - 1 November. Bertemakan “Penginapan Kolej dan Non-Residence: Teras Pembentukan Mahasiswa Kompetitif dan Holistik,” simposium ini menjadi platform penting untuk membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan kolej, kebajikan pelajar serta penambahbaikan dasar universiti dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti kampus.

Program selama tiga hari ini dianjurkan dengan sokongan AJK Pelaksana Induk FESKO-17. Hari pertama bermula dengan ketibaan para delegasi dari pelbagai cawangan UiTM seluruh Malaysia, yang disambut mesra oleh pihak urusetia di UiTM Cawangan Kelantan. Hari kedua, 31 Oktober 2025 (Jumaat), menjadi tumpuan utama apabila para peserta berkumpul di Mini Theatre UiTM Cawangan Kelantan bagi mendengar ucaptama oleh Dr. Firdaus Mohamad, Pengerusi Pengetua Kolej-Kolej UiTM Malaysia, yang menekankan peranan kepimpinan pelajar dalam memperkukuh sistem kolej serta membentuk mahasiswa berdaya saing dan beretika. Sesi diteruskan dengan Forum Kepimpinan Mahasiswa Kolej Kediaman menampilkan tiga panel, iaitu Dr. Firdaus Mohamad; Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan; dan Adam Mansor, wakil JPKNR UiTM Se-Malaysia. Forum tersebut membuka ruang dialog antara pentadbir dan pemimpin pelajar mengenai cabaran semasa dan aspirasi kepimpinan di peringkat kolej kediaman.

Pada sebelah petang, para peserta berpecah kepada tujuh kumpulan mengikut kluster perbincangan di Blok A, UiTM Machang. Kluster tersebut merangkumi Infrastruktur dan Fasiliti, Sistem Pengurusan dan Penempatan, Kesejahteraan dan Disiplin Pelajar, Penglibatan Komuniti dan Non-Resident, Kewangan dan Kos Sara Hidup, Inovasi serta Kelestarian Kolej, dan Polisi serta Tadbir Urus UiTM. Setiap kluster diketuai oleh pengerusi akademik dan pentadbir UiTM yang berpengalaman, dengan penyertaan aktif wakil pelajar dari seluruh negara. Hasil perbincangan ini kemudiannya dibentangkan dalam sesi plenari sebagai usul strategik untuk penambahbaikan dasar kolej di peringkat nasional.

Kemuncak simposium berlangsung pada 1 November 2025 (Sabtu) menerusi Majlis Penutupan Simposium JPKNR UiTM Se-Malaysia 2025 di Premier Lounge UiTM Cawangan Kelantan. Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan dan disempurnakan oleh Dr. Firdaus Mohamad. Dalam sesi ini, setiap kluster membentangkan resolusi akhir yang kemudiannya diserahkan secara rasmi oleh Dr. Firdaus kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, YBhg. Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, pada malam Majlis Perasmian Penutup FESKO-17. Penyerahan resolusi tersebut menjadi simbolik penyampaian suara dan aspirasi mahasiswa UiTM seluruh negara kepada kepimpinan tertinggi universiti, sekaligus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh tadbir urus dan kesejahteraan pelajar UiTM.

Penyedia Laporan:
Saudara Adam Mansor
Pengarah Program
Festival Kolej ke 17 (FESKO 17)