Kelestarian Alam: Kelab Gerakan Pengguna Siswa UiTM Cawangan Kelantan bersama Gerakan Pengguna Daerah KPDN Kuala Krai

Kelestarian Alam: Kelab Gerakan Pengguna Siswa UiTM Cawangan Kelantan bersama Gerakan Pengguna Daerah KPDN Kuala Krai

MACHANG, 25 September - Program Kelestarian Alam bersama Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Cawangan Kelantan telah diadakan pada 18 hingga 19 September 2025 bertempat di Kem Baha, Gunung Stong, Dabong. Program ini dianjurkan oleh Gerakan Pengguna Daerah KPDN Kuala Krai dengan penyertaan daripada ahli Kelab GPS UiTM Cawangan Kelantan.

Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar. Selain itu, ia turut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai peranan agensi kerajaan dalam usaha mesra alam. Program ini juga memupuk semangat sukarelawan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa di samping mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara ahli Kelab GPS UiTMCK dan KPDN Kuala Krai.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program berlangsung. Antaranya ialah taklimat keselamatan oleh Ketua Malim Gunung sebelum peserta memulakan pendakian. Peserta turut melakukan aktiviti pemanasan badan sebelum mendaki ke Kem Baha. Setibanya di lokasi, peserta telah mendirikan khemah dan mengikuti sesi mengenali air terjun serta tumbuh-tumbuhan di kawasan sekitar. Selain itu, peserta turut diberikan pendedahan melalui taklimat santai kepenggunaan oleh jurupandu arah dengan tajuk “Kelestarian Alam Sekitar dan Mahasiswa”.

Program ini telah disertai oleh 17 orang ahli Kelab GPS UiTM Cawangan Kelantan bersama 2 orang pegawai pengiring. Penglibatan ahli Kelab GPS UiTMCK dan pihak penganjur bukan sahaja memeriahkan program, malah menjadikan aktiviti yang dirancang lebih bermakna. Secara keseluruhannya, program ini telah memberikan pelbagai manfaat kepada para peserta. Mahasiswa lebih peka terhadap isu pencemaran dan pemeliharaan alam sekitar serta memperoleh pengalaman secara langsung dalam aktiviti mesra alam. Program ini juga berjaya memupuk nilai kerjasama, disiplin dan tanggungjawab sosial di samping mempereratkan hubungan baik antara mahasiswa UiTM dengan pihak agensi kerajaan.

Kesimpulannya, Program Kelestarian Alam anjuran Gerakan Pengguna Daerah KPDN Kuala Krai bersama Kelab GPS UiTMCK telah berlangsung dengan jayanya serta mencapai objektif yang ditetapkan. Melalui penglibatan ini, mahasiswa bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah dapat menghayati nilai tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan masyarakat yang lebih luas demi melahirkan generasi yang mencintai dan memelihara alam sekitar.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Athirah Amanina Zulkifli
Timbalan Presiden
Kelab Gerakan Pengguna Siswa