Lawatan Penanda Aras Fakulti Sains Data dan Komputeran (FSDK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke UiTM Cawangan Kelantan

Lawatan Penanda Aras Fakulti Sains Data dan Komputeran (FSDK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 25 September - Lawatan penanda aras Fakulti Sains Data dan Komputeran (FSDK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ke Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berlangsung pada 22 September 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana Blok D, UiTM Cawangan Kelantan. Program ini telah dihadiri seramai 23 orang peserta yang terdiri daripada 6 orang wakil daripada UMK dan selebihnya iaitu 17 orang wakil daripada FSKM, UiTM.

Sepanjang program, pelbagai perkara telah dibincangkan merangkumi aspek struktur program akademik dan kurikulum, aktiviti penyelidikan, kolaborasi industri, serta inisiatif pembangunan pelajar dan bakat. Perbincangan berjalan dalam suasana ilmiah yang sangat positif dan memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi amalan terbaik serta meneroka ruang kerjasama baharu.

Hasil daripada pertemuan ini, kedua-dua institusi telah bersetuju untuk memperkukuh hubungan kerjasama jangka panjang khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan pelajar. Pertukaran idea yang berlaku juga diyakini akan menghasilkan 'output' yang bermanfaat dalam bentuk kolaborasi penyelidikan serta program pembangunan akademik yang lebih mantap pada masa akan datang. Selain itu, turut diadakan slot lawatan ke fasiliti di Blok D yang melibatkan makmal komputer dan bilik kuliah bagi memberi pendedahan secara langsung tentang kemudahan pembelajaran yang disediakan di UiTM Cawangan Kelantan.

Secara keseluruhannya, program lawatan penanda aras ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Semoga segala hasil perbincangan dapat direalisasikan dalam bentuk kerjasama yang lebih erat dan berimpak tinggi, sekaligus memberi manfaat kepada komuniti akademik UiTM Cawangan Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan.

Penyedia Laporan:
Puan Noorfadzilah Arifin
Koordinator Prasiswazah CDCS240/CS240
Fakulti Sains Komputer dan Matematik