KOTA BHARU, 7 Julai - Pertandingan Eksplorasi Troli Pintar anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah dijalankan pada 17 Jun 2025 bertempat di Aras Bawah, Pacific KB Mall. Ia merupakan sebuah program yang dianjurkan oleh KPDN Kelantan saban tahun. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dan komuniti tempatan yang berfokuskan pembelian bijak dan pengurusan belanja pintar. Pertandingan ini dipertandingkan untuk menggalakkan sikap pembelian yang cermat. Selain itu, pertandingan ini turut menguji kemahiran peserta melalui tiga pertandingan yang diadakan iaitu Kuiz Kepenggunaan, Eksplorasi Pintar dan Cabaran TikTok Kepenggunaan. Di samping itu, pertandingan ini turut dapat mewujudkan kesedaran tentang konsep eksplorasi pintar dalam kehidupan seharian seperti nilai wang, perbandingan harga, dan tanggungjawab pengguna.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Hj. Azman Ismail, Pengarah KPDN Kelantan. Pertandingan ini disertai oleh 41 kumpulan yang terdiri daripada 3 orang satu kumpulan. UiTMCK menghantar tiga kumpulan yang terdiri daripada pelajar dan alumni UiTMCK serta komuniti Gerakan Pengguna Siswa (GPS), manakala UiTM Kampus Kota Bharu menghantar dua kumpulan. Meskipun berdepan dengan persaingan yang sengit daripada kumpulan lain, kumpulan Alumni UiTMCK bersama komuniti GPS berjaya merangkul tempat kelima dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan ini memberi impak besar kepada pelajar kerana dapat menambah banyak ilmu kepenggunaan bahkan secara tidak langsung juga mengangkat nama UiTMCK dalam program peringkat negeri. Tambahan lagi, pelajar dapat belajar beberapa kemahiran yang perlu diterapkan dalam pertandingan ini atau dalam kehidupan pelajar seperti literasi kewangan, kerjasama berkumpulan, komunikasi dan perancangan bajet. Pertandingan ini juga menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan profesionalisme pelajar. Terima kasih kepada pihak penganjur yang telah menganjurkan pertandingan yang memberi impak positif terhadap semua komuniti.
Penyedia Laporan:
Saudari Nur Athirah Amanina Zulkifli
Timbalan Presiden
Kelab Gerakan Pengguna Siswa