KOTA BHARU, 7 Julai - Pada 26 Jun 2025, bertempat di H Elite Design Hotel, Kota Bharu, telah berlangsung satu majlis makan malam yang penuh gemilang iaitu Gala of Glory: Honouring the Class of 2025. Program ini telah dianjurkan oleh D'Makers, sebuah persatuan pelajar dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK), Kampus Kota Bharu, sebagai simbolik penghargaan kepada para pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) BA270 yang akan menamatkan pengajian pada tahun 2025. Majlis ini bertujuan untuk meraikan pencapaian cemerlang para pelajar, selain menjadi platform untuk menghargai sumbangan mereka sepanjang tempoh pengajian.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTMCK, yang turut menyampaikan ucapan perasmian dan inspirasi kepada para pelajar, pensyarah dan semua tetamu yang hadir. Kehadiran Profesor Dr. Mohd Afandi telah menyerikan lagi suasana dan mencerminkan sokongan padu pihak pengurusan universiti terhadap penganjuran program seumpama ini. Suasana majlis berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan penuh emosi, menyaksikan kehadiran para pelajar, pensyarah serta barisan kepimpinan akademik UiTM Cawangan Kelantan.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah penyampaian Anugerah Dekan kepada 52 orang pelajar. Seterusnya, diikuti dengan sembilan Anugerah Pelajar (Student Awards) termasuk Anugerah Kepimpinan Dinamik, Anugerah Khidmat Bakti dan Anugerah Bakal Alumni Harapan. Sesi cabutan bertuah (Lucky Draw) turut memeriahkan majlis dengan dua sesi cabutan dan hadiah utama (Grand Prize) berupa telekung, kain batik dan komputer riba. Anugerah Best Dress turut disampaikan kepada peserta dengan pakaian terbaik mengikut tema "Movie Character". Selain itu, majlis ini turut diserikan dengan tayangan video penghargaan kepada penaja dan tayangan video kelas gabungan A, B & C.
Sesungguhnya, program ini bukan sekadar meraikan kejayaan akademik, bahkan turut menjadi medan memperkukuh ikatan ukhuwah antara rakan seperjuangan dan pensyarah, di samping mengimbau kenangan suka duka sepanjang meniti kehidupan sebagai mahasiswa. Ia juga mencerminkan komitmen D'Makers dalam menghargai dan meraikan setiap detik kejayaan para ahlinya. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua bakal graduan atas pencapaian yang membanggakan, semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang pada masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Saudari Anis Zulaikha A.Nujain
Setiausaha
D'Makers
UiTM Cawangan Kelantan