Cekak: ‘International Art Exhibition 2025’

MACHANG, 23 Jun - Program Cekak: International Art Exhibition 2025 telah dianjurkan oleh Persatuan Silat Cekak UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) dan DIGIT360. Program ini dijalankan selama sebulan bermula 17 Jun hingga 17 Julai 2025 bertempat di Galeri 1, Blok C FSSR UiTM Cawangan Kelantan.

Majlis perasmian telah diadakan pada 17 Jun 2025 dengan penuh gilang-gemilang dan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Haji Muhammad Nasir Hamzah, Profesor Adjung Fakulti Pengajiandan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Cekak: International Art Exhibition 2025 merupakan pameran seni bertaraf antarabangsa yang terbuka kepada penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi di peringkat siswazah dan pasca siswazah. Karya-karya yang dipamerkan adalah bertemakan Continuing Legacy, Fostering Identity yang memberi penekanan kepada penghayatan warisan seni Silat Cekak Pusaka Hanafi serta budaya silat Nusantara dari perspektif visual.

Program ini turut diserikan dengan persembahan demonstrasi silat yang memukau oleh ahli Persatuan Silat Cekak UiTM Cawangan Kelantan dan sesi seminar ilmiah yang disampaikan oleh Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM Cawangan Kelantan dan juga Encik Mohd Faizal Ramli, Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan.

Melalui program ini, falsafah silat diterjemahkan ke dalam dunia seni visual sebagai satu usaha memperkenalkan serta mendekatkan masyarakat dengan keindahan budaya silat melalui pendekatan moden dan kontemporari. Setiap karya yang dipamerkan bukan sahaja menawarkan keindahan estetik, malah membawa mesej mendalam mengenai nilai, jati diri dan semangat perjuangan yang menjadi teras kepada warisan silat.

Penyedia Laporan:
Saudari Siti Nur Adila Husna Mohd Nasir
Presiden
Persatuan Silat Cekak
UiTM Cawangan Kelantan