Pada 20 Mac 2025 (Khamis), Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Kelantan dengan Kerjasama Perpustakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan, PEWANI UiTM Cawangan Kelantan serta Unit Latihan dan Pembangunan Staf UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Program Budaya Ilmu bertajuk “Persediaan Taksiran Cukai 2025: Fahami e-Invois, Kesan dan Manfaatnya”. Program ini telah disiarkan secara LIVE di YouTube Rasmi Perpustakaan Tengku Anis.
Sepertimana diketahui umum, cukai pendapatan merupakan aspek penting dalam kewangan individu dan perniagaan di Malaysia. Namun, masih ramai pembayar cukai yang menghadapi kesukaran dalam mengisi e-Filing, tidak memahami pelepasan yang boleh dituntut, atau terlepas tarikh akhir sehingga dikenakan penalti. Oleh itu, sesi bual bicara ini dianjurkan untuk memberikan penerangan dan panduan kepada pembayar cukai agar mereka dapat mengurus cukai dengan lebih bijak dan mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh membawa kepada penalti. Sesi bual bicara ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap e-Filing cukai pendapatan. Melalui program ini, peserta akan diberikan penerangan secara langsung oleh seorang panel jemputan yang pakar dalam bidang percukaian.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pengisian e-Filing yang betul, memahami pelaksanaan e-Invois, serta mengenal pasti pelepasan dan rebat cukai yang boleh dimanfaatkan oleh pembayar cukai individu. Bual bicara ini menampilkan Dr Yusri Huzaimi Mat Jusoh, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan sebagai panel jemputan, dan dikendalikan oleh Dr Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan selaku moderator. Program ini turut menyediakan platform interaktif bagi pembayar cukai untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan mereka mengenai taksiran cukai 2025.
Sesi ini telah mendapat sambutan yang luar biasa dengan kehadiran melebihi 2,800 peserta yang terdiri daripada warga UiTM dari seluruh kampus, alumni UiTM, serta masyarakat luar yang berminat untuk memahami lebih lanjut mengenai sistem percukaian di Malaysia. Dengan sambutan yang menggalakkan, program sebegini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan literasi kewangan dan kesedaran cukai dalam kalangan pembayar cukai individu.
Rakaman penuh sesi bual bicara ini boleh ditonton semula pautan live YouTube Rasmi Perpustakaan Tengku Anis: https://www.youtube.com/watch?v=Y-1ku5RlFY8
Penyedia Laporan:
Dr Nik Zam Nik Wan
Ketua Pusat Pengajian
Fakulti Perakaunan