Kuliah Maghrib Siri V

MACHANG, 26 November 2024 – Dalam usaha memperkasa pembangunan rohani mahasiswa, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Abdul Razak (JPKTR) dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tunku Abdul Rahman (JPKTAR) dan Kelab Intellectual Members of Muslim Nation (IMAN) telah menganjurkan program Kuliah Maghrib Siri V di Pusat Islam UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang. Program ini berlangsung selama hampir tiga bulan dengan penglibatan seramai 3,500 peserta, terdiri daripada penghuni kolej serta pelajar non-residen.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman mahasiswa terhadap nilai-nilai Islam yang meliputi aspek tauhid, sirah, akhlak, dan hadis. Di samping itu, ia turut menjadi platform untuk membentuk suasana biah solehah, yang memberi kesan mendalam kepada rohani dan jasmani peserta. Pelaksanaan kuliah ini juga menghidupkan kembali peranan Pusat Islam UiTM sebagai pusat pengajian agama yang dinamik, melibatkan mahasiswa dari pelbagai latar belakang.

Kuliah ini menampilkan penceramah daripada kalangan staf dan pensyarah UiTM, termasuk Encik Mohd Khusyairie Marzuki, Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad, Ustaz Shahrizal Mahpol, dan Ustaz Husaini AB Razab. Setiap sesi dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, disusuli ceramah selama satu jam, dan diakhiri dengan solat Isyak berjemaah. Jadual ini memastikan pengisian rohani yang konsisten dan bermakna sepanjang tempoh pelaksanaan program.

Sambutan luar biasa terhadap program ini membuktikan keberkesanannya dalam menyatukan mahasiswa dan memupuk komuniti yang kukuh di UiTM. Kehadiran yang memberangsangkan sepanjang program juga mencerminkan minat dan kesedaran tinggi terhadap keilmuan Islam dalam kalangan mahasiswa. Tambahan pula, program ini diselaraskan dengan matlamat pembangunan mampan seperti SDG 4 (Quality Education) melalui pemindahan ilmu pengetahuan, SDG 5 (Gender Equality) dengan penyertaan menyeluruh tanpa diskriminasi, dan SDG 11 (Sustainable Cities and Communities) melalui pembangunan komuniti kampus yang sejahtera.

Penasihat program, Puan Ummu Aiman Saidi, menyatakan penghargaan atas dedikasi tinggi penganjur serta penceramah dalam menjayakan program ini. Beliau menekankan bahawa kejayaan program ini adalah bukti komitmen UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang Qawiyun Amin (seimbang dari segi intelektual dan Rohani).Harapannya, program seumpama ini akan terus diadakan dengan lebih inovasi dan penglibatan meluas, bagi memastikan ia terus relevan dan memberi impak positif kepada komuniti kampus.

 

Penyedia Laporan:

Mohamad Azreez Daniel Bin Md Tarmizi

Setiausaha Program Kuliah Maghrib Siri V