KOTA BHARU, 13 November - Program Bonding Day 2.0: Empowering Connections and Building Resilient Teams telah berjaya dilaksanakan pada 26 Oktober 2024 bertempat di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu. Program yang dianjurkan oleh Persatuan EconBiz ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pensyarah dan mahasiswa, khususnya bagi pelajar BA250 dan BA280. Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi serta semangat kerjasama berpasukan. Program ini diketuai oleh Marie Anne Anak Billy selaku pengarah program dan penasihat program iaitu Dr. Nor Zuriati Amani Ab Rani dengan kehadiran peserta seramai 115 orang pelajar. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Azmahani Yaacob@Othman, Ketua Pusat Pengajian (KPP) Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan.
Antara pengisian program adalah ceramah motivasi bertajuk ‘Together We Grow: Nurturing Stronger Relationships’ yang telah disampaikan oleh Puan Hajah Wan Hasni Wan Hasan. Ceramah ini bertujuan untuk memupuk motivasi dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar, di samping memberi pendedahan mengenai teknik komunikasi berkesan dalam situasi akademik dan sosial. Selain itu, taklimat penasihat akademik turut disampaikan oleh KPP iaitu Dr. Azmahani Yaacob@Othman. Program diteruskan dengan sesi perkongsian melibatkan dua pelajar cemerlang, Nurul Iffah Mohd Ariff dan Wan Nur Ain Danisya Wan Halim yang telah berkongsi panduan pembelajaran yang berkesan serta kaedah mencapai kecemerlangan dalam akademik. Kesemua peserta juga terlibat dalam aktiviti Treasure Hunt, di mana kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah diuji melalui kerjasama berpasukan.
Program ini mencapai kemuncaknya dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Treasure Hunt serta pemberian cenderahati kepada penasihat akademik sebagai tanda penghargaan atas bimbingan dan sokongan mereka. Program ini memenuhi beberapa Petunjuk Prestasi (PI) UiTM, antaranya: PI039: Melibatkan pelajar dalam program kesejahteraan emosi yang memupuk kesedaran tentang kepentingan keseimbangan emosi serta hubungan interpersonal yang baik melalui aktiviti interaksi positif serta PI040: Meningkatkan jumlah pelajar yang terlibat dalam aktiviti pembangunan diri yang menekankan kemahiran komunikasi di peringkat tempatan dan antarabangsa, melalui aktiviti berkumpulan yang menggalakkan interaksi secara produktif.
Akhir kata, diharapkan agar program ini dapat memberi impak positif yang berkekalan buat para peserta, mengukuhkan lagi hubungan erat antara pelajar dan pensyarah, membentuk asas bagi pasukan yang berdaya tahan, dan menyumbang kepada pembangunan diri serta kejayaan akademik mahasiswa di UiTM Cawangan Kelantan.
Penyedia Laporan:
Saudari Marie Anne Anak Billy
Pengarah Program
Econbiz Bonding Day 2.0: Empowering Connections and Building Resilient Teams
Dr. Nor Zuriati Amani Ab Rani
Penasihat
Persatuan Econbiz UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu