Machang, 10 November – Jawatankuasa Pemantapan Penasihat Akademik Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, telah berjaya menganjurkan program Accountants on Track: Walk and Connect. Program yang berlangsung meriah ini bertujuan mengeratkan hubungan antara Penasihat Akademik (PA) dan pelajar Fakulti Perakaunan dalam suasana santai dan sihat, melibatkan seramai 258 pelajar serta 20 orang PA.
Dirasmikan oleh Dr. Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, program bermula dengan taklimat keselamatan dan sesi pemanasan badan, sebelum para peserta memulakan aktiviti berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer di sekitar kampus. Dr. Nik Zam menyatakan harapannya agar program ini dapat membantu membina hubungan yang lebih erat antara PA dan pelajar, sekaligus memupuk semangat kebersamaan dalam suasana akademik yang santai dan menyokong.
Setelah selesai ‘brisk walk’, pelajar berkumpul bersama PA masing-masing di beberapa lokasi rehat. Semasa sesi ini, PA mengambil kesempatan bertanya khabar, mendengar luahan pelajar, dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka. Ada juga PA yang membawa makanan dan minuman ringan untuk dikongsi bersama anak-anak PA masing-masing, menjadikan sesi tersebut lebih mesra dan mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan PA.
Menurut penganjur, program ini menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengenali PA mereka dengan lebih mendalam di luar kelas, membantu pelajar merasa lebih selesa berkongsi cabaran akademik dan peribadi. “Interaksi tidak formal ini penting untuk membina kepercayaan dan sokongan antara PA dan pelajar,” ujar seorang PA yang terlibat.
Program Accountants on Track: Walk and Connect yang berakhir sekitar jam 10 pagi ini diharapkan menjadi acara tahunan. Selain menggalakkan gaya hidup sihat, program ini juga memberi peluang kepada pelajar Fakulti Perakaunan di UiTM Machang untuk mendapat sokongan akademik dan motivasi yang lebih baik.
Laporan disediakan oleh:
Siti Noor Azmawaty Abd Razak
Pengarah Program
Accountants on Track: Walk and Connect