MACHANG, 26 September - Satu Program Pendidikan Sivik dan Kenegaraan bersama Belia UiTM Cawangan Kelantan telah diadakan pada 31 Mei hingga 1 Jun 2024 bertempat di Pusat Latihan Perhutanan, Bukit Bakar Machang. Dengan tajaan dari Akademi Gagasan Minda Merdeka, program yang telah disertai seramai 30 belia dari negeri Kelantan adalah bertujuan untuk menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan berkenaan pendidikan sivik, pembangunan negara dan amalan demokrasi di negara ini.
Program kali ini merupakan program ke-4 yang dijalankan oleh Special Interest Group (SIG) Civic and Democracy Education di bawah Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni UiTM Cawangan Kelantan semenjak usaha mendekati masyarakat secara Program Latihan Dalam Kumpulan bermula dari tahun 2023. Fasilitator adalah terdiri daripada Pensyarah UiTM Cawangan Kelantan sendiri dari Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Akademi Pengajian Bahasa dan Fakulti Pengurusan Maklumat yang bersinergi dengan pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) Kota Bharu dan Penolong Pegawai Daerah yang kedua-duanya merupakan alumni UiTM sendiri. Pembantu fasilitator juga terdiri dari alumni UiTM dan juga belia setempat yang telah mengikuti TOT yang telah dijalankan untuk rekrut belia-belia untuk bergerak aktif mendekati komuniti bagi memasyarakatkan pengetahuan sivik dan kenegaraan.
Antara perkara yang didedahkan dalam program-program kami adalah berkenaan dengan demokrasi, pilihan raya, hak asasi manusia dalam perlembagaan, rukun negara, sejarah Malaysia. Kaedah yang dijalankan adalah melalui pembentangan, ceramah dan latihan dalam kumpulan. Pendekatan belajar melalui pengalaman juga digunakan bagi menambahkan impak dalam menerapkan nilai-nilai demokrasi pada diri peserta.
Diharapkan program ini dapat menyumbang kepada kemenjadian belia sebagai warganegara yang lebih baik. Penerangan ilmiah diberikan secara santai dan diikuti dengan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bagi memberi kefahaman kepada peserta secara experiential learning. Antara kaedah yang digunakan dan diberi pendedahan oleh GMM melalui bekas jurulatih PLKN ialah seperti teka silang kata, lakon semula, meneka fakta dan juga menyanyikan lagu kebangsaan iaitu Negaraku.
Penyedia Laporan:
Puan Nor Farizah Johari
Pengarah Projek
Program Pendidikan Sivik dan Kenegaraan