Majlis Perasmian Program Terapi Seni Fiber Pelajar Jabatan Seni Reka Tekstil, KPSK, UiTM Cawangan Kelantan Bersama Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Bizara

KOTA BHARU, 17 September - Seni fiber adalah karya seni tekstil yang menerapkan elemen serat iaitu serat alami dan serat sintetik sebagai bahan utama dalam penghasilan karya. Beberapa aspek utama yang diberi penekanan dalam penghasilan karya seni fiber yang baik adalah penggunaan teknik tenunan yang bersesuaian seperti ikat, sulam, jalinan, rajutan dan sebagainya. Fungsi dan nilai turut menjadi elemen utama dalam penghasilan karya ini kerana secara tidak langsung ianya akan meninggalkan kesan dan nilai estetik tersendiri kepada pengguna dan pemiliknya.

Program Terapi Seni Fiber yang diadakan di Pusat Pendidikan Khas Bizara, Wakaf Stan, pada 14 September 2024 merupakan idea kerjasama Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Cawangan Kelantan bersama Pusat Pendidikan Khas Bizara sebagai program terapi yang berkesan untuk menarik minat kanak-kanak berkeperluan khas di samping meninjau kemahiran psikomotor dan emosi mereka demi meningkatkan kemahiran komunikasi, ekspresi diri serta menggalakkan sosialisasi.

Seramai lebih kurang 40 daripada 60 orang kanak-kanak berkeperluan khas Bizara berusia 7 hingga 21 tahun terdiri daripada kanak-kanak autisme, sindrom down, disleksia, lembam dan pelbagai lagi beserta 39 pelajar UiTM Cawangan Kelantan terlibat secara langsung dalam program ini. Program Terapi Seni Fiber ini telah menghasilkan 39 buah karya Seni Fiber yang dilihat memberi impak yang positif terhadap kanak-kanak berkeperluan khas Bizara kerana mereka diberi peluang untuk menghasilkan sebuah karya seni. Bagi pelajar semester 2 Diploma Seni Reka Tekstil, program ini melahirkan keterujaan dan kegembiraan terhadap program ini yang mendedahkan mereka dengan pengalaman baru apabila dapat berkomunikasi, berinteraksi dan bermain dengan kanak-kanak istimewa Bizara. Mereka menjadikan pengalaman yang berharga ini sebagai cabaran dalam menghasilkan karya seni fiber ke bentuk yang lebih dinamik mengikut keperluan khas. Kerjasama ini juga dilihat dapat memperkenalkan keistimewaan seni fiber dalam memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas sebagai terapi diri dan pada masa yang sama dapat mengetengahkan seni tekstil di mata masyarakat.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan cetusan idea kolaborasi bersama, sebuah pameran dan pertandingan iaitu Fiber Art Exhibition 2024 akan dijadualkan berlangsung pada 21 September 2024 di Pusat Pendidikan Khas Bizara, Wakaf Stan. Sesi penjurian ke atas semua karya turut diadakan sejurus selesai Majlis Perasmian Program Terapi Seni pada hari tersebut. Para pemenang dan sesi penyampaian hadiah akan diadakan pada Majlis Perasmian Fiber Art Exhibition 2024, 21 September nanti.

Pautan Video Program: Fiber Arts Therapy Program for Special Educational Needs of Bizara

Penyedia Laporan:
Puan Anis Ediana Mohd Fauzi
Pensyarah
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Editor:
Encik Hamdan Hj. Lias
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif

Media dan Grafik:
Puan Aneeza Mohd Adnan
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Seni Kreatif