Seminar Pemahaman dan Analisa Laporan Kewangan Koperasi Kelantan: Kolaborasi Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan dan Suruhanjaya Koperasi (SKM) Kelantan

MACHANG, 15 Ogos - Program Universiti Social Responsibility (USR) atau Tanggungjawab Sosial Universiti iaitu Seminar Pemahaman dan Analisa Laporan Kewangan Koperasi telah  diadakan pada 28 hingga 29 Julai 2024 bertempat di Hotel Renai, Kota Bharu. Seminar ini merupakan kolaborasi Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan. Program ini dihadiri oleh 36 peserta dari pelbagai koperasi di negeri Kelantan. Kos seminar ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak SKM Kelantan.

Program USR ini turut dihadiri Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan iaitu Dr. Nik Zam Nik Wan dan 6 orang pensyarah  Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan, terdiri daripada Dr. Yusri Huzaimi Mat Jusoh, Puan Noraida Saidi, Puan Anita Che Hassan, Puan Rabaatul Azira Hassan, Cik Siti Nor Adawiah Hussin, dan Puan Nor Jaslina binti Nik Wil. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta mengenai laporan kewangan koperasi, melengkapkan mereka dengan kemahiran analisis prestasi kewangan yang diperlukan untuk membuat keputusan yang lebih baik, serta menggalakkan amalan kewangan yang telus dan bertanggungjawab dalam koperasi dan memastikan koperasi beroperasi dengan cekap dan berkesan.

Seminar ini dipecahkan kepada dua slot. Slot pertama adalah perkongsian daripada pihak Fakulti Perakaunan. Satu ceramah bertajuk "Rahsia Disebalik Angka: Laporan Kewangan Koperasi" telah disampaikan oleh Dr. Yusri Huzaimi Mat Jusoh, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan. Ceramah ini memberi tumpuan kepada pemahaman terperinci tentang laporan kewangan koperasi, termasuk penyata pendapatan, penyata kedudukan kewangan, penyata aliran tunai, dan analisis nisbah kewangan. Sepanjang seminar berlangsung, pihak Fakulti Perakaunan turut menawarkan sesi perundingan secara percuma berkaitan laporan kewangan dan perakaunan kepada para peserta koperasi. Dalam slot ini, pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan berinteraksi secara langsung dengan peserta untuk menerangkan dan menjelaskan kepada pihak koperasi mengenai laporan kewangan koperasi. Aktiviti yang dijalankan termasuk latihan praktikal dan sesi soal jawab.

Slot kedua adalah sesi perkongsian daripada pihak SKM Kelantan, di mana para peserta didedahkan mengenai ruang dan peluang untuk menjalakan aktiviti perniagaan berdasarkan kepada ruang lingkup peredaran semasa selaian tadbir urus koperasi berdasarkan tatacara seperti yang digariskan dalam Akta Koperasi 1993 dan lain-lain panduan yang telah disediakan kepada koperasi.

Seminar yang bermula pada jam 9:00 pagi berakhir pada jam 5:00 petang dan berjaya mencapai objektifnya, di mana maklum balas daripada peserta menunjukkan kepuasan tinggi terhadap kandungan seminar dan pendekatan hands-on yang digunakan.

Penyedia Laporan:
Puan Rabaatul Azira Hassan
Pensyarah
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan