Program Textile Diploma Show 2024, Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 14 Mac - Rabu, 7 Februari 2024 telah berlangsung sesi kemuncak “Textile Diploma Show 2024 bagi pelajar tahun akhir Diploma Seni Reka Tekstil yang bakal menghabiskan pengajian di UiTM Cawangan Kelantan selama 2 ½ tahun yang diadakan di Galeri KPSK. Program yang berlangsung selama 2 hari ini telah memberi pendedahan umum kepada pelajar Jabatan Seni Reka Tekstil, Kolej Pengajian Seni Kreatif tentang pengurusan acara majlis dan juga pameran. Selain itu, pelajar juga diberi pendedahan dalam mengendalikan jualan karya akhir pelajar yang terdahulu.

Program ini bermula pada 6 Februari 2024 sejurus setelah pelajar berkenaan selesai menjalani Penilaian Akhir projek Diploma Seni Reka Tekstil dengan menghasilkan tiga produk utama iaitu kain tenunan (Weaving), batik (Resist) dan juga kain cetakan (Printing). Projek pelajar kali ini telah membawa tema “Seni Reka Tekstil Kontemporari Inspirasi Daripada Ulam-ulaman di Malaysia” dan memberi nama “PUCUK” sebagai konsep pameran dan peragaan. Promosi seawal satu minggu giat dijalankan bagi mempromosi program ini baik dalam dan juga luar UiTM Cawangan Kelantan.

Program seperti ini amat mendapat galakan daripada para jemputan VIP UiTM terdiri daripada barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) yang diketuai YBrs. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan serta kunjungan dari Pihak Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang. Selain itu, program turut dihadiri oleh wakil sekolah dari kawasan Machang dan Kolej Vokasional, Tanah Merah. Kunjungan pensyarah KPSK dan pelajar KPSK juga tidak kurang hebatnya sehingga ruang yang disediakan telah dipenuhi oleh mereka seawal setengah jam sebelum program bermula.

Selain daripada itu, pelajar daripada fakulti lain selain KPSK juga turut melibatkan diri dalam program ini dimana pelajar berkenaan menjadi peragawan dan peragawati bagi memperagakan karya pelajar.  Program selama 3 jam ini telah diserikan dengan dua sesi peragaan tekstil hasil daripada karya pelajar tahun akhir yang memperagakan 15 pasang kain batik bagi sesi pertama, 15 pasang kain cetakan bagi sesi kedua dan mempamerkan 15 helai kain tenunan di ruang pameran Galeri KPSK. Ucapan tahniah dipanjangkan kepada semua tenaga pengajar Jabatan Seni Reka Tekstil kerana telah memberikan 100% komitmen dalam memastikan kemenjadian pelajar Diploma Seni Reka Tekstil kali ini. Berikut merupakan bingkisan gambar semasa program berlangsung yang mempamerkan riak kegembiraan dan keyakinan diri oleh pelajar yang dibimbing oleh para pensyarah Jabatan Seni Reka Tekstil dalam mengendalikan program ini dengan jayanya.

Sesi taklimat pelajar bersama pensyarah yang diketuai oleh Encik Adib Mohd Hassan (Penyelaras Program CAAD112) dan Encik Yusof Daud @ Ismail yang dibantu oleh Puan Rohaizan Mohd Nasir yang merupakan figura penting dalam memastikan pergerakan peragaan ini berjalan dengan lancar. Sesi persiapan tempat telah berlangsung sehari awal dimana konsep yang digunakan memerlukan daya kreativiti demi memastikan ia bertepatan dengan tema yang dipilih. 

Sekitar persediaan belakang pentas yang dibantu oleh para pensyarah bagi menyiapkan peragawan atau peragawati sebelum sesi peragaan tekstil bermula.

Ucapan pembukaan oleh YBrs. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan dan ucapan aluan oleh Dr. Nani Hartina Ahmad, Ketua Pusat Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kelantan. Berikut merupakan suasana ruang Galeri KPSK ketika dikunjungi oleh para tetamu jemputan. Sejurus selesai program, para tetamu dijemput untuk mengunjungi tapak jualan karya tekstil dan turut mengunjungi pameran Diploma bagi jabatan lain selain daripada Jabatan Seni Reka Tekstil.   

Akhir sekali, sesi berakhir dengan mengambil gambar kenang-kenangan bersama VIP dan tetamu jemputan. Dengan ini, Jabatan Seni Reka Tekstil amat mengalu-alukan kehadiran warga UiTM Cawangan Kelantan bagi menyaksikan lagi program yang bakal dilaksanakan pada semester akan datang. Demi mempertingkatkan lagi pengambilan pelajar Diploma Seni Reka Tekstil untuk masa akan datang, pihak Jabatan Seni Reka Tekstil menyeru warga UiTM untuk mempromosi kursus ini kepada umum sekaligus menarik minat generasi muda untuk terus berkarya.

Penyedia Laporan:
 
Zainab Anuar
Pensyarah
Jabatan Seni Reka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif
UiTM Cawangan Kelantan
 
Ana Nabila Ismail
Pelajar
Seni Reka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif,
UiTM Cawangan Kelantan .