Lawatan Penanda Aras dan Penerapan Nilai ESI iDART Staf Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan Ke Universiti Teknologi MARA

SHAH ALAM, 13 Mac – Staf Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan berbesar hati kerana telah diberikan peluang mengadakan “Lawatan Penanda Aras dan Penerapan Nilai ESI iDART Staf Pentadbiran UiTM Cawangan Kelantan ke Universiti Teknologi MARA” pada 29 Februari 2024 sehingga 01 Mac 2024. Sesi lawatan telah diadakan ke beberapa lokasi antaranya Pejabat Pendaftar UiTM Shah Alam dan Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam. Bagi mencapai matlamat yang lebih holistik dan meluas, lawatan kali ini melibatkan penyertaan peserta dalam kalangan pelbagai bahagian di UiTM Cawangan Kelantan. Program yang berlangsung selama 2 hari ini disertai oleh 31 orang staf daripada pelbagai bahagian. Delegasi ini diketuai oleh Encik Hishamudin Mohamad Twontawi, Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Kelantan.

Program ini adalah perancangan yang telah lama dirancang oleh Pengurusan Tertinggi UiTM Cawangan Kelantan dan mendapat sokongan sepenuhnya oleh Rektor UiTMCK iaitu Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi. Antara objektif lawatan ini adalah bagi memberi pendedahan, berkongsi idea dan pengalaman sepanjang mengurus urusan perkhidmatan sumber manusia. Selain itu, lawatan ini juga diadakan untuk meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan tangkas yang diaplikasikan oleh UiTM Cawangan Selangor yang merupakan tunjang utama UiTM. Ini sekaligus telah memberi peluang bagi membentuk jaringan dan kolaborasi bersama staf UiTM Cawangan Kelantan dan UiTM Selangor yang sebelum ini banyak berurusan hanya dalam dunia maya.

Bahagian Pentadbiran selaku penganjur utama telah berjaya menjalankan program ini antaranya bagi mencapai PI UiTM-Happines Index & ESI iDART. Sepanjang program, ini peserta telah didedahkan amalan terbaik perkhidmatan di Pejabat Pendaftar. Peserta juga diberi peluang untuk melawat semua bahagian di Pejabat Pendaftar antaranya Bahagian Governan & Sekretariat Universiti, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia dan Bahagian Rekod Pelajar & Konvokesyen.

Delegasi UiTM Cawangan Kelantan disambut dengan bingkisan ucapan khas dari Pendaftar UiTM dan disampaikan oleh Cik Noor Farah Zaiti binti Mohd Zaidon, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengambilan dan Penempatan Staf.

Seterusnya sesi perkongsian tentang “Rahsia Kuasi ESI iDART” oleh Encik Mohd Nor Hisham Yusof@Ibrahim, Penolong Pendaftar. Lawatan ini diakhiri dengan sesi lawatan ke semua bahagian. Impak yang positif dapat dilihat oleh semua peserta kerana majoriti peserta pertama kalinya dapat merasai pengalaman dan suasana kerja di sana.

Hari kedua lawatan diteruskan ke Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM Puncak Alam yang dahulunya dikenali sebagai Hospital UiTM.  Bangunan fasiliti terbaharu ini dibina dengan reka bentuk seni bina tersendiri yang bakal menjadi mercu tanda kebanggaan universiti.

Peserta berpeluang mendapat taklimat tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh HASA. Taklimat telah disampaikan oleh Encik Wan Saufi Irfaan W. Zamri, Penolong Pendaftar Jabatan Pentadbiran & Sumber Manusia. Peserta sangat teruja dengan fasiliti perubatan berteknologi tinggi dan terkini yang terdapat di HASA yang mana dilihat standing dengan hospital yang terkemuka di Malaysia.

Delegasi UiTM Cawangan Kelantan turut diberi peluang untuk melihat lebih dekat setiap bahagian dan ruang di HASA termasuk perpustakaan dan wad. Ini memberikan suntikan semangat baru kepada peserta untuk lebih tekun dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab staf di dalam menyokong ESI dan iDART.  Ini bakal memastikan visi UiTM untuk menjadi sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains, Teknologi, Kemanusiaan dan Keusahawanan dapat tercapai dengan jayanya.

Penyedia Laporan:
 
Puan Wan Noor Azwani Wan Abd Rasid
Pegawai Eksekutif
Bahagian Pentadbiran
UiTM Cawangan Kelantan
 
Cik Ruhayu Nurdin
Pegawai Eksekutif
Unit Komunikasi Korporat
UiTM Cawangan Kelantan