MACHANG, 26 Februari - Sekalung tahniah diucapkan kepada Unit Kerjaya & Kaunseling UiTM Cawangan Kelantan kerana telah merangkul dua kategori Anugerah iaitu ANUGERAH PERKHIDMATAN PSIKOLOGI & KAUNSELING TERBAIK KAMPUS NEGERI (UKK BERKETRAMPILAN) dan ANUGERAH PENCAPAIAN PI 39. Pengiktirafan ini diberikan atas pencapaian sepanjang tahun 2022/2023.
Terdapat 15 senarai anugerah yang telah dipertandingkan iaitu 10 Anugerah Kampus Terbaik, 3 Anugerah Individu Terbaik dan 2 Anugerah Khas Timbalan Naib Canselor HEP UiTM. Tujuan penganugerahan ini diberikan adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pegawai psikologi yang mengamalkan budaya kerja cemerlang, berintegriti, berperibadi tinggi, berkualiti, proaktif dan boleh dicontohi oleh rakan sekerja yang lain. Antara kriteria lain yang diambil kira adalah Pusat / unit yang mencapai piawaian dengan hasil sumbangan yang boleh dicontohi kepada kampus / cawangan lain dan program yang dilaksanakan mempunyai impak yang baik dan memberi manfaat kepada warga UiTM.
Majlis ini telah berlangsung di Bahang Bay Hotel, Pulau Pinang sempena Mesyuarat Pegawai Psikologi Seluruh Sistem UiTM 2024 (MePPsi), Majlis Apresiasi Pegawai Psikologi UiTM dan Bengkel Kompetensi Profesional Pegawai Psikologi pada 19 hingga 21 Februari 2024.