MACHANG, 15 Januari - Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Hussein Onn dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan (BSMM) telah mengadakan program bertajuk ‘First Aid Workshop: First-Response Training’ di Blok D, D310, UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang pada 6 Januari 2024. Program ini terbuka kepada semua mahasiswa serta mahasiswi UiTM Cawangan Kelantan dan ianya telah disertai oleh 65 orang peserta. Kursus bermula pada jam 8:00 pagi dan berakhir pada jam 12:00 tengah hari.
Matlamat program in adalah untuk mendedahkan dan menyebarkan mengenai ilmu pertolongan cemas dengan lebih meluas terhadap mahasiswa serta melahirkan mahasiswa yang sentiasa bersedia untuk menghadapi kecemasan.
Program ini dihadiri oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar iaitu Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli dan Staf Residen Kolej Tun Hussein Onn iaitu Encik Mohammad Amir Taufik Abu Hassan. Selain itu, program juga turut dihadiri oleh Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 22/23, Saudara Muhammad Firdaus Mohamed Sohaimi serta penceramah dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan sendiri iaitu Encik Norudin Yaacob.
Para peserta program ‘First Aid Workshop: First-Response Training’ telah memberi kerjasama dan perhatian sepenuhnya sepanjang program berjalan. Banyak pengisian yang diberikan oleh Encik Norudin Yaacob iaitu dari segi sesi ceramah sehingga sesi latihan dalam kumpulan. Semua peserta dapat mempelajari cara untuk mengendalikan pertolongan cemas, cara membalut luka serta cara mengusung pesakit dengan betul.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli amat terharu dan berbangga kerana JPKTHO berjaya mengadakan program ini. Beliau juga kagum dengan semangat para peserta dalam penglibatan program ini. Akhir kata, beliau berharap agar lebih banyak program lain berbentuk ilmiah yang dapat dijalankan pada masa yang akan datang.
Penyedia Laporan:
Saudari Fatin Alia Hamrizan
Pengarah Program
'First Aid Workshop: First-Response Training'