Majlis Apresiasi Penganjuran dan Penderma Darah 2023 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

MACHANG, 20 Disember – Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) telah mengadakan Majlis Apresiasi Penganjuran dan Penderma Darah 2023 pada 5 Oktober 2023 bertempat di Dewan Utama Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

Matlamat penganjuran majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada para penderma darah dan pihak penganjur yang selama ini telah bekerjasama serta menyokong usaha pihak HUSM dalam menjayakan semua program dan kempen derma darah sepanjang tahun 2023.

UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang telah menerima Anugerah Penganjur Kempen Derma Darah Paling Cemerlang yang diberikan oleh pihak HUSM. Anugerah ini diberi atas hasil usaha mahasiswa yang telah bekerjasama menjayakan kempen tersebut pada bulan Mac 2023, iaitu pada bulan Ramadan, di mana pihak HUSM membuat persediaan untuk simpanan bekalan darah sempena hari perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Program tersebut telah disambut baik serta disokong oleh Rektor dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang bersama-sama mahasiswa yang tinggal di dalam kampus. Program tersebut diketuai oleh Cik Ruhayu Nurdin sebagai Staf Residen Kolej, dimana segala perancangan dan penyeliaan program telah dijalankan dengan lancar. Program tersebut bermula di Kolej Tun Dr. Mahathir dan diikuti dengan penyertaan kolej-kolej yang lain di UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang.

UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang mengucapkan ribuan terima kasih buat semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang program berjalan. Pihak universiti amat menyokong program-program yang melibatkan komuniti dan pada masa yang sama turut memberi ilmu dan pengalaman buat mahasiswa yang sedia berbakti mencurahkan tenaga, usaha dan masa mereka demi kebaikan bersama.



Penyedia Laporan:
Staf Residen Kolej
UiTMCK