MACHANG, 05 November - Pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi dengan kerjasama Unit Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN), Unit Kerjaya & Kaunseling UiTM Cawangan Kelantan serta pihak kelab persatuan Pembimbing Efektif Rakan Sebaya (PEERS) telah mengadakan program CSR Lukisan Mural di 3 dinding bangunan sekolah SMK Pahi pada 9 Julai 2023. Objektif program ini adalah untuk menghasilkan lukisan mural yang ceria di sekolah agar warga sekolah lebih gembira dan bersemangat. Program ini juga memberi peluang kepada ahli kelab UiTM untuk mendapat pendedahan dan pengalaman berkaitan aktiviti kemasyarakatan kepada wakil UiTMCK dengan khidmat komuniti.
Pengarah program lukisan mural, Dr. Noorlida Daud dan pengarah bersama Puan Zainab ‘Izzah Mahmud berjaya mengumpulkan seramai 30 orang pelajar sekolah untuk aktiviti melukis bersama-sama dengan 24 orang pelajar UiTMCK dan 6 orang pensyarah UiTMCK. Aktiviti melukis berlangsung selama dua hari bermula dari jam 8:00 pagi dan berakhir pada jam 5:00 petang. Segala persiapan berjalan lancar, pelajar sekolah serta pelajar UiTMCK dilihat memberikan komitmen sepenuhnya kepada tugasan melukis dan mewarna sepanjang tempoh program.
Perasmian penutup diadakan pada hari kedua program dan dirasmikan oleh Timbalan Rektor PJIA, UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Norzieha Mustapha. Acara penutup turut mengumpulkan pengetua SMK Pahi, Encik Mohd Azahar Hashim, guru-guru sekolah SMK Pahi serta Pelajar Tingkatan 5 seramai 50 orang pelajar.
Penyedia Laporan:
Dr. Noorlida Daud
Penyelaras
Unit Jaringan Komuniti