Gotong-Royong Madani Kementerian Pendidikan Malaysia 2023

MACHANG, 19 September - Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dengan kerjasama Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya menganjurkan satu Program Gotong-Royong Madani Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kelantan, Lati, Pasir Mas pada 14 September 2023. Program ini disertai oleh 23 orang pensyarah FPP, 15 orang pensyarah KPSK, seorang pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta turut diwakili oleh 3 orang pelajar KPSK. Acara gotong-royong ini juga turut disertai oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut. Acara utama program ini ialah gotong-royong seluruh sekolah membabitkan kawasan parking, padang bola, bilik darjah, dan asrama pelajar. Pasukan daripada UiTMCK telah diberikan tanggungjawab untuk menceriakan 4 bilik asrama pelajar dengan aktiviti melukis mural.

Program dimulai dengan taklimat oleh Sarman Mohamad, selaku Pengarah 2 untuk memberikan pendedahan kepada semua peserta tentang proses melukis mural. Ia disusuli dengan tunjuk ajar dan teknik membancuh cat oleh wakil pensyarah daripada KPSK. Setelah peserta memahami konsep asas mural, kumpulan pensyarah UiTMCK dibahagikan kepada 4 bilik asrama bagi memulakan aktiviti melukis dan mengecat mural.

Program kali ini juga turut mendapat tajaan makanan daripada McDonalds Cawangan Tanah Merah dengan hidangan burger dan kentang. Suasana sepanjang aktiviti ini bertambah ceria dengan penglibatan para guru dan murid yang turut serta mengecat dinding asrama dengan lukisan mural yang bertemakan pemandangan.

Pihak sekolah turut berbesar hati menyediakan juadah makan tengahari kepada semua peserta yang menjayakan program gotong-royong ini. Selesai solat zohor, aktiviti ini disambung semula sehingga selesai kesemua 4 bilik asrama pelajar ini dihiasi dengan lukisan mural yang sangat cantik. Pihak sekolah berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan dan kerjasama yang sangat padu antara staf UiTMCK dan kakitangan sekolah terlibat. Aktiviti ini tamat sepenuhnya pada jam 5:00 petang dan semua peserta bersurai.

Penyedia Laporan:
Dr. Mariam Setapa
Penyelaras
Unit Pengurusan Risiko