MAIK Lancar Buku Tatacara Pengurusan Kewangan Masjid Negeri Kelantan

KOTA BHARU, 20 Ogos -  Sebelas orang pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan yang diketuai Profesor Madya Dr. Marziana Madah Marzuki dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyiapkan satu garis panduan iaitu tatacara pengurusan kewangan masjid negeri Kelantan dan telah dilancarkan dalam Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua MAIK kepada pegawai-pegawai masjid negeri Kelantan pada 15 Ogos 2023. Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan ini adalah untuk memastikan setiap masjid dapat menyediakan penyata kewangan dengan lebih teratur dan menepati prinsip perakaunan serta mengikut kehendak pekeliling kewangan semasa. Perkara tersebut dimaklumkan Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK pada 15 Ogos 2023 sempena Majlis Amanat Tengku Yang Dipertua MAIK Bersama Pegawai Masjid Negeri Kelantan Tahun 2023 di Grand Renai Hotel Kota Bharu.

Majlis turut dihadiri Prof. Dr. Haji Abdol Samad Bin Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan bersama-sama dif-dif kehormat Istana dan MAIK. Tatacara itu telah dibangunkan bermula tahun 2022 hasil daripada kursus pengurusan kewangan dan integriti yang telah diadakan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan khususnya Fakulti Perakaunan bersama MAIK di seluruh jajahan di negeri Kelantan. Antara pensyarah-pensyarah yang terlibat ialah Dr. Wan Zurina Nik Abdul Majid, Wan Muzlaina Wan Mustapha, Che Rokiah, Haji Othman Zailani, Prof. Madya Dr. Maheran Zakaria, Roslina Salwani, Siti Nor Adawiah, Wan Roshaini Wan Ali, Samsuria Abdul Rahman dan Siti Jeslyn Hasan. 

Penyedia Laporan:
Prof. Madya Dr. Marziana Madah Mazuki
Koordinator URMI