Majlis Penyerahan Daging Korban ACIS-YBIM Peringkat UiTM 2023 di UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 3 Ogos - Majlis Penyerahan Daging Korban ACIS-YBIM Peringkat UiTM 2023 telah berlangsung di UiTM Cawangan Kelantan pada jam 11:00 pagi anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Kelantan pada 25 Julai 2023. Program ini adalah merupakan hasil kolaborasi Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTMCK bersama Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM). Ia merupakan program kesinambungan daripada program Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Shah Alam. Pihak ACIS UiTMCK telah dipilih sebagai lokasi agihan daging korban, seterusnya daging korban tersebut diagihkan kepada asnaf terpilih dari kalangan staf dan juga pekerja kontrak di UiTMCK.

Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan di dalam ucapan perasmiannya berkata “Usaha yang dijalankan ini juga bertepatan dengan konsep hijrah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W. yang mana penghijrahan Baginda membuka lembaran baharu bagi penyatuan ummah di Madinah dan sumbangan daging korban sejuk beku yang dijalankan oleh pihak Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) merupakan satu inisiatif yang baik dan mulia dalam menyantuni pihak-pihak yang selayaknya”.

Turut serta di dalam Majlis Penyerahan Daging Korban ACIS YBIM Peringkat UiTM Cawangan Kelantan 2023 adalah Profesor Madya Dr. Mohd Nasir Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, Dr. Khalid Abdul Wahid, Penolong Rektor Kampus Kota Bharu, wakil jemputan daripada YBIM dan 200 orang wakil dari kalangan staf dan 150 dari kalangan pekerja kontrak sebagai penerima daging korban. Sebahagian daging korban turut dimasak lalu diberikan kepada para pelajar dan juga kakitangan UiTM Cawangan Kelantan. Tazkirah juga diadakan di Pusat Islam sementara urus setia memasak daging korban untuk diagihkan kepada para pelajar dan kakitangan. Tazkirah tersebut telah diberikan oleh Dr. Mohd Nazri Mat Zin.

Terima kasih diucapkan kepada semua peserta Program Kembara Korban 1001 Asnaf ACIS YBIM. Terima kasih juga turut dipanjangkan kepada Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) dan juga ahli jawatankuasa pelaksana yang terlibat dan bertungkus lumus menjayakan program ini.

 

Penyedia Laporan: 
Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)