Bengkel Pengukuhan ESI dan Jati Diri Kumpulan Pelaksana UiTM Cawangan Kelantan Siri 1

MACHANG, 27 Jun - Bahagian Pentadbiran merupakan nadi utama pengurusan pentadbiran bagi seluruh sistem UiTM Cawangan Kelantan. Fungsi utama Bahagian Pentadbiran bertanggungjawab terhadap pengurusan universiti dan penyampaian perkhidmatan bagi pengurusan serta pembangunan sumber manusia (staf) sepanjang perkhidmatan.

Bagi mencapai objektif berkenaan, satu bengkel telah diadakan bersama staf Pembantu Operasi dari semua bahagian pada 8 Jun 2023. Pada 19 Jun 2023 pula, telah diadakan Bengkel Pengukuhan ESI dan Jati Diri Kumpulan Pelaksana UiTM Cawangan Kelantan Siri 1 bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan Tengku Anis. Seramai 36 staf Gred N19 hingga N26 telah dijemput hadir. Program dimulakan dengan sesi perkongsian oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Abdol Samad Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Sesi kedua diteruskan dengan sesi perkongsian bersama YBrs. Encik Hishamudin Mohd Twontawi, Timbalan Pendaftar Kanan. Sesi ini membantu meningkatkan kualiti pemantapan kerja berpasukan. Antaranya adalah membina keserasian antara rakan sekerja, melatih dan membentuk jati diri untuk menangani situasi tegang serta memberi ruang kepada semua staf supaya mengenali hati budi rakan kerja.

Program ini turut dibantu oleh barisan fasilitator dari jawatan Penolong Pendaftar dan Pegawai Eksekutif. Pada akhir program, banyak maklum balas positif yang diterima dan Rektor menekankan bahawa program ini perlu diteruskan ke siri seterusnya pada masa akan datang bagi memastikan momentum kerja staf akan terus cemerlang.

Penyedia Laporan:
Puan Wan Noor Azwani Wan Abd Rasid
Pegawai Eksekutif
Bahagian Pentadbiran