MACHANG, 27 Februari: Society of Information System Management (SISMA), UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan aktiviti SISMA TEAD: CSR to the South Malaysia pada 22 hingga 25 haribulan Februari 2023. Turut hadir dan terlibat dalam program ini ialah pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), selaku Penasihat SISMA dan 19 orang pelajar dari peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Terdapat tiga (3) aktiviti utama sepanjang program ini iaitu perkongsian ilmu, lawatan akademik, dan khidmat masyarakat.
Aktiviti perkongsian ilmu diadakan dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pengurusan Maklumat (SMFPM) UiTM Puncak Perdana, Selangor. Turut hadir pada sesi tersebut, Dr Ezza Rafedziawati Binti Kamal Rafedzi selaku Penasihat SMFPM dan Mantan Timbalan Hal Ehwal Pelajar FPM. Sesi perkongsian ilmu yang bertajuk ‘Diskusi Santai bersama SMFPM dan SISMA’ ini diadakan pada 22 Februari 2023. Matlamat program berjaya dicapai dengan keterlibatan mahasiswa UiTM Puncak Perdana yang banyak memberikan cadangan dan idea berkenaan penganjuran program, pengurusan organisasi dan kemantapan akademik terutamanya cadangan penubuhan Majlis Syura FPM Se-Malaysia.
Seterusnya, sesi lawatan akademik dijalankan di sekitar Bandaraya Melaka pada 23 Februari 2023 dengan lawatan ke muzium dan bangunan seni bina yang bersejarah di Melaka.
Pada 24 Februari pula, aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) dengan tema ‘Sayangi Pantai’ dijalankan hasil daripada kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Turut hadir dalam program ini ialah Encik Mohd Imran bin Mohd Rasid, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBMB dan 3 orang wakil MBMB. Kerja-kerja pembersihan dan aktiviti gotong-royong telah diadakan di sekitar kawasan pelancongan Pantai Klebang, Melaka. Acara yang berlangsung selama hampir dua jam ini telah berjaya mengumpul sampah sarap seperti botol, plastik makanan, bekas air polisterin, penyedut air minuman, cebisan kertas surat khabar dan pelbagai jenis sampah sarap.
Aktiviti CSR diteruskan lagi dengan aktiviti “GLOW SME” dimana para peserta mendekati peniaga-peniaga kecil di sekitar pantai Klebang untuk memberi pendedahan tentang Pemasaran Digital atau e-dagang dengan menawarkan khidmat secara percuma mengenai penghasilan video pemasaran, poster, dan QR payment.
Sekalung penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program pada kali ini. Tahniah juga diucapkan kepada pengarah program, Muhammad Razif Al Haj bin Mat Daud dan Timbalan Pengarah Program, Nurin Balqis binti Mazeri kerana telah menjalankan program dengan jayanya. Semoga program bermanfaat seperti ini dapatlah diteruskan lagi pada masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Saudara Muhammad Razif AlHaj Matdaud
Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM)
Saudari Nur Ainatul Mardiah Mat Nawi
Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM)