Laporan Kunjungan Dan Lawatan Wakil Universiti Pendidikan Indonesia (UPI)

MACHANG, 27 Februari - Pada 11 Februari 2023, UiTM Cawangan Kelantan telah menerima kunjungan seorang wakil dari Universiti Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung iaitu Prof. Madya Dr. Farid Abdullah yang merupakan seorang pensyarah di Fakulti Pendidikan Seni dan Desain, UPI. Lawatan beliau ke UiTM Cawangan Kelantan ini adalah merupakan langkah pengenalan dalam jalinan hubungan kerjasama di antara dua Universiti. Beliau membawa misi dan visi daripada Rektor Universiti Pendidikan Indonesia (UPI) dalam sesi perbincangan bersama wakil UiTM Cawangan Kelantan mengenai program yang boleh dilaksanakan sebagai langkah kerjasama antara kedua-dua universiti terutamanya dalam bidang seni. Beliau juga berhasrat untuk mengadakan lawatan ke Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) terutamanya bengkel – bengkel yang melibatkan aktiviti kesenian.

Kunjungan dan lawatan beliau disambut oleh wakil UiTM iaitu Ts. Pn. Emilia Abdul Manan, selaku Ketua Pusat Pengajian (KPP) Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTMCK, Puan Lay See May, Pegawai Perhubungan Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa UiTMCK dan juga beberapa orang wakil pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTMCK. Satu sesi perbincangan dan pengenalan telah diadakan untuk memberi gambaran awal mengenai program kerjasama yang boleh dijalankan oleh kedua - dua pihak. Menerusi perbincangan tersebut, beberapa program telah dicadangkan yang merangkumi skop bidang pengajian akademik seperti penulisan ilmiah, koloborasi pameran seni, sesi perkongsian ilmu secara atas talian dan program pertukaran pensyarah serta pelajar di antara Universiti Pendidikan Indonesia (UPI) dan UiTM Cawangan Kelantan terutamanya di dalam bidang seni. Sesi perbincangan tersebut mendapat maklum balas yang positif di antara kedua Universiti untuk menjalinkan kerjasama dan diharapkan agar semua cadangan yang dibentangkan tersebut dapat direalisasikan.

Dalam rangka lawatan ini beliau dibawa melawat pameran karya akhir pelajar di bengkel Jabatan Seni Reka Tekstil dan Jabatan Seni Reka Logam Halus. Pelajar- pelajar berpeluang mendengar dan berbincang bersama Prof. Madya Dr. Farid mengenai tip untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan peluang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di luar negara terutamanya Indonesia. Pada hari berikutnya, lawatan diakhiri dengan lawatan ke bandar Kota Bharu untuk melihat Muzium 3D yang merupakan projek kolaborasi Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Penyedia Laporan:
Puan Aneeza Mohd Adnan 
Pensyarah Kanan Jabatan Seni Reka Tekstil
Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK)