UiTM Cawangan Kelantan – UMSU Indonesia Memeterai Kerjasama Akademik

Machang – Universiti Teknologi MARA telah memetarai memorandum perjanjian (MoA) dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia secara maya pada hari Rabu, 3 Februari 2021. Memorandum Perjanjian ini bertujuan bagi mengukuhkan lagi usahasama akademik yang telah terjalin antara Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) dan UMSU demi kecemerlangan kedua-dua universiti yang melibatkan pertukaran pelajar, petukaran pensyarah dan symposium bersama. 

Memorandum perjanjian ini ditandatangani oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Professor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, P.S.K dan Rektor UMSU, Associate Professor Dr.Agussani, MAP. Memorandum ini juga ditandatangani oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Ghazali Osman (UiTM) dan Dr. Rudianto, M.Si (UMSU) sebagai saksi di kampus masing-masing.

Memorandum Perjanjian (MoA) ini adalah lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 23 November 2019.  Pada waktu itu Rektor UMSU, Associate Professor Dr.Agussani MAP dan beberapa delegasi dari UMSU telah berkunjung ke UiTM Cawangan Kelantan untuk menandatangani dokumen tersebut secara fizikal. Namun, situasi pandemic Covid-19 yang membataskan aktiviti fizikal membuatkan ianya dilakukan secara maya.

 

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan pergerakan, pembatasan aktiviti fizikal tidak menghalangkan kecermerlangan akademik kerana dengan bantuan teknologi, perkembangan ilmu dapat disebarkan tanpa batasan dan sempadan. 

Sehingga kini, pertukaran pensyarah, pertukaran pelajar dan seminar merupakan aktiviti akademik yang telah dijalankan antara Fakulti Perakaunan UiTMCK dan Fakulti Eknomi dan Bisnes UMSU.  Aktiviti tersebut berjaya mendedahkan pelajar dan pensyarah kepada ilmu yang lebih luas, budaya yang berbeza, persekitaran terbuka dan merapatkan jurang perbezaan dan silaturahim antara dua negara serumpun. 

Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Professor Madya Dr. Haji Zulkifli bin Mohamed mengatakan, dengan termeterai Memorandum Persefahaman pada hari ini, peluang kerjasama ini harus dibuka kepada fakulti lain.  Beliau juga mengesyorkan supaya banyak program lagi dirancang untuk memenuhi keperluan Industri 4.0, disamping bersedia menghadapi era Society 5.0. Beliau amat tertarik dengan fasiliti astronomi UMSU yang boleh dimanafaat bagi perkembangan ilmu falak. Harapan beliau supaya kerjasama antara UiTM dan UMSU akan diteruskan walaupun berdepan dengan situasi pandemik Covid19 atau apa sahaja halangan di masa depan. 

Sementara itu, Rektor UMSU, Associate Professor Dr. Agussani, MAP mengungkap kegembiraan beliau kerana majlis ini dapat dilangsungkan meskipun dunia masih dibelenggu oleh pandemik. Beliau juga amat berpuas hati dengan setiap aktiviti yang terjalin antara Fakulti Perakaunan UiTMCK dan Fakulti Ekonomi dan Bisness UMSU.

 

Sumber : Prof. Madya Dr. Maheran Zakaria