Majlis Penyerahan PPE Kepada Pihak PAPISMA

MACHANG - UiTM Cawangan Kelantan mengambil inisiatif membantu dengan menghasilkan projek menjahit PPE kepada Frontliners dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Kelantan. Penyerahan PPE telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan kepada Pengerusi Papisma Dr Tengku Ahmad Damitri Al- Astani Tengku Din. Projek ini adalah satu usaha bertujuan membantu pihak KKM dalam penghasilan PPE bagi mengekang dan memutuskan penularan rangkaian wabak Covid-19. Kerjasama ini melalui Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni ICAN merupakan satu bentuk projek sukarelawan dengan menggunakan kepakaran dan fasiliti daripada Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan. Jalinan kerjasama ini tidak melibatkan sebarang kepentingan dan keuntungan material hanya mengkhususkan kepada projek komuniti.

Umum diketahui wabak Covid-19 menular dan meningkat di negara Malaysia, juga tidak terkecuali di Negeri Kelantan ketika tempoh PKP dilaksanakan. Sebagai NGO yang sentiasa menyokong penuh dengan membantu dan memudahkan usaha kerajaan, pihak PAPISMA turut sama menyediakan keperluan material bagi menampung permintaan penggunaan PPE yang sangat kritikal. UiTM Cawangan Kelantan melalui Fakulti Seni Lukis & Seni Reka telah mengambil inisiatif dengan menjahit PPE yang dilakukan oleh pensyarah fakulti tersebut. Projek ini turut dibantu oleh pensyarah daripada Akademi Pengajian Bahasa yang turut sama menyumbang tenaga dan masa menghasilkan PPE.

 

 

Menurut Ketua Projek Puan Rohaizan Mohd Nasir, Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, projek Fasa ke-2 mengambil masa 3 bulan ini mampu menyiapkan 650 pasang PPE untuk disalurkan kepada Frontliners di hospital sekitar Kelantan yang kritikal memerlukan.

Rasionalnya, pihak UiTMCK mengambil peluang ini untuk membantu pihak KKM dalam menyediakan PPE sebagai persediaan menghadapi pandemik Covid-19. Sebagai sokongan kepada Frontliners yang sentiasa berhadapan dengan situasi sukar, seramai 11 pensyarah UiTMCK termasuk 3 orang sukarelawan luar terdiri dari kalangan keluarga staf UiTMCK yang menjahit di rumah masing-masing turut membantu terlibat sebagai sukarelawan untuk menjahit. Kepakaran Pensyarah menghasilkan PPE ini dilihat sebagai satu cara menyatakan sokongan padu dan sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan.

 

 

Sebagai institusi pengajian tinggi yang dekat di mata masyarakat, UiTMCK mengambil peluang dari tercetusnya pandemik Covid-19 untuk membuka peluang kepada staf berkhidmat dan menabur jasa kepada negara Malaysia walaupun menghadapi kekangan tugas hakiki di universiti. Dengan semangat dan iltizam yang dizahirkan oleh para sukarelawan UiTM Cawangan Kelantan ini akan menjadi satu perkara yang sangat bermanfaat. 

Rektor UiTM Cawangan Kelantan Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed turut berkata "sifat prihatin dan empati telah mendorong warga UiTMCK untuk turut serta dalam membantu menyediakan keperluan untuk Frontliner Covid-19. Sifat sebegini akan terus disuburkan diseluruh pelajar-pelajar UiTM dan anggota masyarakat. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan semua sukarelawan UiTMCK di atas usaha murni ini.