Karnival Keusahawanan 2022 Tingkatkan Perniagaan Usahawan Mahasiswa

MACHANG, 7 November – Karnival Keusahawanan Zon Timur 2022 telah berjaya diadakan di Universiti Teknologi MARA, Cawangan Kelantan pada 31 Oktober 2022. Karnival ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia, Universiti Teknologi MARA (MASMED UiTM) dan Sektor Keusahawan Pusat Pembangunan HEBAT, Universiti Sains Malaysia (USM). Karnival ini telah dirasmikan oleh Nooraidah Abdullah, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi.

Karnival keusahawanan ini dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama adalah Kolaborasi Strategik Keusahawanan pada sebelah pagi dan dijalankan serentak dengan pembentangan idea pelan perniagaan (Business Pitching). Sesi Kolaborasi Strategik Keusahawanan merupakan sesi taklimat berkenaan peranan agensi. Manakala sesi pembentangan idea pelan perniagaan pula merupakan pemadanan perniagaan, di mana usahawan pelajar boleh bersama agensi pendanaan secara langsung bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar dan peluang pendanaan perniagaan. Program diteruskan dengan majlis perasmian dan sesi forum pada sebelah petang.

Karnival keusahawanan ini merupakan program yang berimpak tinggi dengan mensasarkan penglibatan dalam kalangan usahawan pelajar, sama ada yang baru atau sedang menjalankan perniagaan. Seramai lebih 500 peserta hadir termasuk dari UiTM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu (KPTM), Kolej Komuniti Jelai serta Kolej Komuniti Tanah Merah. Penganjuran karnival ini dibahagikan kepada 5 zon utama iaitu Zon Timur di UiTM Cawangan Kelantan, disusuli dengan Zon Utara di Universiti Sains Malaysia, Zon Selatan di UiTM Cawangan Johor, Zon Sabah /Sarawak di UiTM Cawangan Sarawak dan terakhir di Zon Tengah, UiTM Shah Alam.

Karnival ini melibatkan penglibatan daripada pelbagai agensi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi jemputan lain yang mempunyai kapasiti dalam bidang keusahawanan. Terdapat 9 agensi yang hadir bagi berkongsi tentang peranan, latihan dan bimbingan yang disediakan iaitu:

  1. KEMENTERIAN PEMBANGUBAN USAHAWAN DAN KOPERASI (KUSKOP)
  2. TEKUN NASIONAL
  3. SME CORPORATION MALAYSIA
  4. PERBADANAN USAGAWAN NASIONAL BERHAD (PUNB)
  5. BANK KERJASAMA RAKYAT MALAYSIA
  6. MALAYSIAN RESEARCH ACCELERATOR FOR TECHNOLOGY & INNOVATION (MRANTI)
  7. MALAYSIA EXTERNAL TRADE DEVELOPMENT CORPORATION (MATRADE)
  8. SME Bank MALAYSIA BERHAD
  9. SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA (SKM)

Disertakan pautan video perasmian seperti berikut: https://youtu.be/IyGzpWiHkbY

Penyedia laporan:
Rohazlyn Rosly
Timbalan Pengerusi
Program Karnival Keusahawanan 2022

Ruhayu Nurdin
Pegawai Eksekutif
Unit Komunikasi Korporat