Pesta Pantun & Perasmian Kemuncak Bulan Kemerdekaan UiTMCK 2022

MACHANG, 20 September - Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya mengadakan Pesta Pantun & Perasmian Kemuncak Bulan Kemerdekaan UiTMCK 2022 sempena menyambut Kemuncak Bulan Kemerdekaan pada 15 September 2022. Program ini dirasmikan oleh Datuk Ahmad Jazlan Haji Yaakub, selaku Pengerusi FELCRA Berhad diiringi oleh Rektor UiTMCK, Profesor Dr. Haji Abdol Samad Nawi dan barisan pengurusan universiti.

 

Dengan bertemakan Pahlawan dan Srikandi, para staf yang hadir mengikuti tema menambahkan lagi kemeriahan program.  Program dimulakan dengan pertandingan pantun antara bahagian, kemudian disusuli dengan sesi penyampaian hadiah bagi Pertandingan Bulan Kemerdekaan & Hari Malaysia UiTMCK 2022, di mana dalam pertandingan tersebut terdapat tiga (3) kategori yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Selfie/ Swafoto Individu, Pertandingan Wefie/ Swafoto bersama Bahagian, Pertandingan Hiasan Bahagian. Objektif utama program adalah untuk menyemai semangat cintanya kepada negara dan mengeratkan silaturahim sesama warga UiTMCK.

Program yang mendapat sokongan dan sambutan semua warga UiTMCK dalam meraikan Bulan Kemerdekaan yang ke 65 dan Hari Malaysia yang ke 59 ini, pastinya akan menjadi salah satu program tahunan di masa akan datang.

Penyedia Laporan:

Cik Ruhayu Nurdin

Pegawai Eksekutif Unit Komunikasi Korporat