IM-Vative Terus Istiqamah, PB Mache Pantang Undur: Serlah Kejayaan di KIK Zon Timur 2022

MACHANG, 21 September – Konvensyen KIK Zon Timur 2022 telah berjaya dilaksanakan oleh UiTM Cawangan Pahang selaku penganjur konvensyen yang telah diamanahkan oleh Institut Kualiti & Pengembangan Ilmu (InQKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Konvensyen yang berlangsung selama tiga (3) hari, iaitu pada 13 hingga 15 September 2022 telah menyaksikan penyertaan dua (2) kumpulan dari UiTM Cawangan Kelantan iaitu IM-Vative (Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan) dan PB Mache (Unit Polis Bantuan, UiTM Cawangan Kelantan).

IM-Vative sebagaimana yang dijangka telah berjaya mengharumkan nama UiTM Cawangan Kelantan setelah dinobatkan sebagai Naib Johan KIK Zon Timur 2022, KIK Primer Terbaik (Pengurusan-Penciptaan) dan Anugerah Istiqamah KIK di samping Anugerah Emas. Puan Nurulannisa Abdullah selaku fasilitator IM-Vative yang sangat berpengalaman turut merangkul Anugerah Fasilitator Terbaik menewaskan fasilitator daripada 7 kumpulan lain yang bertanding. Manakala PB Mache turut menyerlahkan kehebatannya apabila penampilan sulung mereka mewakili UiTM Cawangan Kelantan telah menerima Anugerah Perak di KIK Zon Timur 2022.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kumpulan IM-Vative dan PB Mache, serta penyelaras KIK UiTM Cawangan Kelantan iaitu Puan Izzatil Husna Arshad, Ts. Inv. Mohd Zafian Mohd Zawawi dan Encik Mohd Azrul Sidek, Jawatankuasa Kerja Unit Pengurusan Kualiti dan warga UiTM Cawangan Kelantan secara am yang telah memastikan PI095: Bilangan Projek KIK berjaya dicapai.