Majlis Memeterai Kerjasama Perjanjian (MoA) Secara Maya Antara Universiti Teknologi MARA, Malaysia (UiTM) dan Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ), Indonesia

MACHANG, 24 Julai - Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) melalui Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) telah berjaya memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama pihak Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ), Indonesia secara maya pada hari Khamis, 23 Jun 2022 bagi memberi nilai tambah kepada semua pihak yang terlibat dalam menonjolkan kepakaran masing-masing. Memorandum Perjanjian (MoA) tersebut melibatkan lawatan akademik dan simposium bersama.  Memorandum Perjanjian tersebut juga bertujuan untuk mengukuhkan lagi usahasama akademik yang telah terjalin antara UiTMCK dan UPNVJ demi kecemerlangan kedua-dua universiti. Majlis ini telah disiarkan secara langsung di saluran YouTube Rasmi UiTM Cawangan Kelantan.

Memorandum Perjanjian ini ditandatangani oleh Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor UiTMCK dan Dekan Fakultas Ilmu Komputer UPNVJ, Dr. Ermatita, M.Kom. Memorandum ini juga ditandatangani oleh Timbalan Rektor Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Hj. Ghazali Osman (UiTMCK) dan Erly Krisnanik, S. Kom, MM, Timbalan Dekan Kerjasama Mahasiswa UPNVJ, sebagai saksi mewakili universiti masing-masing.

Memorandum ini akan membuka peluang yang luas kepada kedua-dua buah universiti untuk berkolaborasi dalam pelbagai bidang termasuk perkongsian akademik; penyelidikan dan penerbitan; pertukaran staf akademik dan pelajar; promosi peluang belajar; seminar, bengkel dan persidangan dalam bidang pendidikan dan latihan. Selain itu, memorandum ini turut membantu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam mencapai visi bersama untuk kecemerlangan berterusan dengan memupuk kerjasama erat untuk menghadapi cabaran baharu, memaksimumkan peluang baharu untuk manfaat kedua-dua pihak.