MACHANG, 24 Julai - The International Academic Symposium of Social Science 2022 (IASSC 2022) telah berjaya dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan Maklumat dan Digital Information Interest Group (DIGIT), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Malaysia, menerusi kerjasama daripada lima universiti, iaitu Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jakarta, Indonesia; Universitas Ngudi Waluyo, Indonesia; Kolej Politeknik Camarines Sur, Filipina; Universiti Malaya dan UCSI Universiti, Malaysia. Persidangan ini telah berjaya dilangsungkan di Hotel Perdana, Kota Bharu Kelantan secara mod hibrid menerusi persembahan bersemuka dan maya pada 3 Julai 2022.
Program yang julung kalinya dianjurkan ini telah dirasmikan oleh Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi. Turut hadir adalah Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Dr. Haji Abdol Samad bin Nawi. Persidangan yang bermakna ini juga turut disaksikan oleh Mantan Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed.
Seramai tiga pembentang merangkap penceramah utama telah dijemput iaitu Prof. Ts. Dr. Noorman Masrek, dari Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA, Malaysia bertajuk Bibliotherapy: Exploring the Relationship Between Leisura Reading and Emotional Intelligence. Seterusnya, penceramah kedua bagi persidangan ini ialah Prof. Madya Dr. Sherah Kurnia, dari Universiti Melbourne, Australia, (Sustainable Supply Chain Management: Research Opportunities and Challenges) dan penceramah terakhir untuk persidangan ini adalah Dr. Susantha Udagedara, dari University of Salford, United Kingdom. Beliau membentangkan tajuk berkaitan Digital Transformation of Innovation and Entrepreneurship: Opportunities for Future Research.
Penganjuran IASSC 2022 yang julung kali diadakan ini bertemakan "Merangkul Transformasi Digital: Isu dan Cabaran dalam Sains Sosial." adalah relevan dengan senario semasa. Hal ini kerana, keperluan untuk bergerak seiring bersama Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) serta kepentingan untuk turut sama bersaing secara global dalam era pendidikan digital lantaran pandemik COVID-19 adalah wajar ditelusuri pewajarannya.
Untuk makluman, dalam IASSC 2022, penulis dijemput untuk menyerahkan manuskrip mereka secara elektronik melalui sistem penyerahan “EasyChair”, dan persidangan telah diadakan dalam dua mod iaitu bersemuka dan maya. Pengiktirafan untuk lima anugerah kertas kerja terbaik dan lima anugerah pembentang terbaik diberikan bagi mengiktiraf kerja keras mereka serta melambangkan penghargaan atas sokongan dan penyertaan.
Persidangan ini menerima maklum balas yang sangat baik apabila telah mendapat permintaan agar program ini diteruskan pada masa akan datang. Perancangan untuk persidangan seterusnya di antara Fakulti Pengurusan Maklumat dan Digital Information Interest Group (DIGIT) bakal dilaksanakan lagi. Persidangan yang bermakna ini memberi ilmu dan pengalaman yang bermakna kepada semua yang terlibat sama ada bagi pihak penganjur sendiri mahupun peserta. Di samping itu, ia juga mampu mengumpul idea baru dari dalam dan luar negara bagi membincangkan topik semasa.