Lawatan Kolaborasi Penyelidik Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam dan Wakil Syarikat Bio Fluid ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 21 Ogos - Pihak UiTM Cawangan Kelantan telah menerima lawatan kolaborasi penyelidik daripada Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam, Dr. Nurdiana Samsulrizal selaku Ketua Makmal Penyelidikan dan Pengarah Syarikat Bio Fluid Sdn. Bhd., En. Rohaizad Abdul Raoof pada 14 Ogos 2022. Tetamu terlebih dahulu dibawa ke sesi bergambar bersama pasukan penyelidikan UiTM Cawangan Kelantan yang terdiri daripada wakil Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), Pn. Hadhifah Fadhlina Ismail selaku Penyelaras Agrobisnes dan wakil Fakulti Perakaunan, Dr. Noor Marini Haji Abdullah, selaku Ketua Pusat Pengajian. Tetamu juga telah menandatangani buku pelawat secara rasmi sebagai tanda kenangan kehadiran ke UiTM Cawangan Kelantan. Tujuan utama lawatan kolaborasi tiga penjuru ini adalah untuk berbincang mengenai jaringan kolaborasi pintar membangunkan model penanaman pokok Moringa Oleifera berskala sederhana di UiTM Cawangan Kelantan.

Pertemuan yang berlangsung di bilik mesyuarat Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) dimulakan dengan tayangan video korporat UiTM Cawangan Kelantan. Seterusnya, pengenalan kepada kampus UiTM Cawangan Kelantan yang seluas 517 ekar dan sedikit pengenalan mengenai projek Ladang Nanas Bukit Ilmu disampaikan. Wakil penyelidik daripada Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam dan wakil syarikat Bio Fluid Sdn. Bhd. memperkenalkan tanaman Moringa Oleifera dan menyatakan hasrat kerjasama pintar penanaman pokok Moringa Oleifera untuk tujuan penyelidikan dan komersial pada masa yang sama di UiTM Cawangan Kelantan.

Setakat ini, tanaman Moringa Oleifera di Malaysia adalah berskala kecil dan tidak mampu memenuhi permintaan memandangkan Moringa Oleifera adalah dikategorikan sebagai Superfood berikutan pelbagai manfaat kesihatan yang mampu diperoleh daripada keseluruhan pokok Moringa Oleifera, bermula dari daun, bunga, batang dan akar pokok. Moringa Oleifera adalah tanaman yang mudah dijaga, namun pokok berkenaan memerlukan kualiti tanah yang baik kerana kualiti daun akan dipengaruhi oleh kualiti tanah dan persekitaran tempatnya ditanam.

Justeru, wakil penyelidik daripada Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam dan wakil syarikat Bio Fluid Sdn. Bhd. berhasrat mengawal kualiti tanaman dengan mencari rakan kolaborasi yang mempunyai sumber yang diperlukan, iaitu tanah yang tidak tercemar dan sesuai untuk tanaman pokok Moringa Oleifera secara organik. Sesi lawatan diteruskan dengan tetamu dibawa melawat ke Ladang Nanas Bukit Ilmu supaya dapat melihat dengan lebih jelas potensi tapak penanaman pokok Moringa Oleifera di kawasan tanah yang berdekatan.

Pihak UiTM Cawangan Kelantan dan Fakulti Perakaunan khasnya mengharapkan peluang kolaborasi pintar tiga penjuru ini dapat menyediakan ruang dan peluang bagi pembangunan para pelajar demi menambah nilai untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM Cawangan Kelantan melalui kursus pentauliahan-mikro Agricultural Accounting. Di samping itu, kolaborasi ini juga dapat menyediakan peluang untuk para pensyarah memberi konsultasi kewangan, perakaunan dan lain-lain lagi.

Selain itu, kumpulan penyelidik dari UiTM Cawangan Kelantan juga telah mempromosikan produk Kemuning kepada delegasi yang hadir. Mereka begitu berminat dengan produk Kemuning dan telah membuat belian sejumlah RM2,186.00.

Semoga lawatan kolaborasi ini akan menjadi titik tolak ke arah realisasi projek model penanaman pokok Moringa Oleifera berskala sederhana di UiTM Cawangan Kelantan yang bakal memberi manfaat melalui pembangunan sosioekonomi sekitar UiTM Cawangan Kelantan dan komuniti setempat.

Penyedia Laporan:

Dr. Noor Marini Haji Abdullah

Ketua Pusat Pengajian

Fakulti Perakaunan