MACHANG, 15 Februari - Lawatan Kerja oleh YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA ke UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang telah berjaya diadakan pada 13 Februari 2022 lalu.
Lawatan dimulai dengan sesi perjumpaan Naib Canselor bersama warga UiTM Cawangan Kelantan secara hibrid dengan mendengar perbentangan pencapaian kampus oleh YBrs. Prof. Madya. Dr. Zulkifli Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor. Selepas itu, sesi ucapan dan soal jawab warga bersama YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor yang turut diadakan melalui platform Webex. Sesi ini juga melibatkan wakil pelajar yang mengambil peluang mengutarakan persoalan dan perkongsian dari sudut para pelajar.
Hadir sama dalam lawatan tersebut adalah YBhg. Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBhg. Prof. Ts. Dr. Nor Hayati Saad, Penolong Naib Canselor (Strategi), serta barisan pengurusan Kanan UiTM Cawangan Kelantan dan barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.
Program tersebut juga menyaksikan pelancaran Mata Wang Sosial (Social Currency), penyerahan replika cek untuk Tabung Mangsa Banjir UiTM Shah Alam bernilai RM5000 yang merupakan kutipan hasil sumbangan warga UiTMCK dan pihak luar, serta penyerahan 10 unit komputer riba hasil sumbangan PAUK kepada pelajar-pelajar B40 UiTMCK. Majlis berakhir dengan sesi penyerahan cenderamata kenang-kenangan yang dihasilkan oleh pelajar program Diploma Seni Reka Logam Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kelantan.