MACHANG, 7 Oktober – Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (U-DServeD) Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menerima lawatan daripada beberapa orang jurutera, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 9 September 2025 bagi meninjau cadangan naiktaraf kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di UiTMCK. Lawatan ini turut disertai oleh wakil Bahagian Pengurusan Fasiliti (BPF), UiTMCK.
Mereka yang terlibat adalah Puan Noor Azreen Alimin, selaku Penyelaras U-DServeD UiTMCK, Pegawai Perhubungan Ketidakupayaan (Disability Liaison Officer; DLO) UiTMCK iaitu Encik Mohd Azrul Sidek dan Encik Ab Fatah Ab Hamid bersama wakil BPF iaitu Encik Mohd Zaidi Yaacob. Salah seorang staf OKU UiTMCK, iaitu YM Tengku Isma Fadhli Tengku Ismail turut meluangkan masa meninjau tapak lawatan. Manakala, Jurutera ICU JPM terdiri daripada Puan Ts. Mastura Ismail, Encik Ahmad Faisal Ahmad Bustamam dan Encik Mohd Taufique Awang@Mustafa selaku Penolong Jurutera.
Lawatan ini adalah susulan daripada perbincangan awal antara DLO UiTMCK iaitu Encik Mohd Azrul Sidek, juga melalui sesi pembentangan dan serahan kertas kerja permohonan peruntukan yang telah dikemukakan oleh pihak UiTMCK kepada ICU JPM, bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan keselesaan warga OKU di kampus.
Antara kawasan yang diberi perhatian termasuklah laluan bertangga di Bangunan Pentadbiran UiTMCK menuju ke Pusat Pelajar dan ke Blok Akademik A. Selain itu, lawatan tapak turut diadakan di Blok Akademik D bagi meninjau tapak cadangan ruang rehat pelajar OKU yang meliputi kemudahan tandas OKU dan ruang solat. Naiktaraf laluan pejalan kaki turut diberikan perhatian bagi menyediakan kawasan ‘drop-off’ dan ‘pick-up’ warga OKU UiTMCK. Dalam pemerhatian juga adalah tempat letak kenderaan khas, serta kemudahan sokongan lain seperti ‘ramp’, ‘handrail’ dan sistem panduan arah. Pihak ICU JPM turut menilai keadaan semasa kemudahan yang sedia ada serta mencadangkan beberapa penambahbaikan selaras dengan piawaian kebangsaan.
Melalui lawatan ini, pihak UiTMCK berharap cadangan naiktaraf dapat dipertimbangkan dan diluluskan, sekali gus memastikan persekitaran kampus lebih inklusif, selamat, dan mesra OKU. Langkah ini juga selaras dengan komitmen universiti dalam menyokong agenda kerajaan untuk memperkasa golongan OKU melalui penyediaan kemudahan yang kondusif dan mesra pengguna.
Dalam masa yang sama, sumbangan daripada warga UiTM untuk pembangunan kemudahan OKU amatlah dialu-alukan. Warga UiTM boleh menyumbang melalui Tabung Cakna OKU UiTM dengan mengimbas kod QR yang disediakan. Selain itu, potongan gaji secara bulanan juga boleh dibuat sebagai tanda sokongan berterusan.
SATU SUMBANGAN, SEJUTA HARAPAN.
Penyedia Laporan:
Puan Noor Azreen Alimin
Penyelaras
U-DServeD
UiTM Cawangan Kelantan