Pameran Aksesori Perhiasan Barang Kemas dan Tenunan Hasil Kreativiti Pelajar Seni Reka Logam Halus dan Seni Reka Tekstil, UiTM Cawangan Kelantan Sempena Majlis Makan Malam Sri Puteri Warisan 2025

KOTA BHARU, 17 September - Pameran Aksesori Perhiasan, Barang Kemas dan Tenunan sempena Majlis Makan Malam Sri Puteri Warisan 2025 telah menjadi sorotan seni dan budaya berprestij di Kota Bharu. Program ini merupakan sebuah inisiatif Pertubuhan Perempuan Kelantan (WI Kelantan) dengan kerjasama Malaysian Craft Council (MCC) demi memartabatkan seni, budaya dan warisan. Acara berprestij ini berlangsung pada 7 September 2025 bertempat di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan. Majlis yang penuh gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, penaung WI Kelantan. Keberangkatan baginda turut menyaksikan pelancaran “Road to World Craft City – Kota Bharu as a World Craft City”, sebuah usaha penting dalam memperkukuh kedudukan Kota Bharu sebagai pusat kraf bertaraf antarabangsa dan memartabatkan kraf tempatan ke persada dunia.

Pameran ini mengetengahkan koleksi barang kemas eksklusif hasil rekaan pelajar Jabatan Seni Reka Logam Halus merangkumi rantai leher, gelang, kerongsang dan cincin di mana setiap satunya direka bentuk dengan teliti dan dihasilkan secara buatan tangan oleh pelajar Diploma Logam Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan. Sebagai program pertama dan satu-satunya program yang ditawarkan di universiti awam Malaysia, ia menjadi perintis dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang pembuatan barang kemas. Keunikan pameran ini turut diserikan dengan hasil tenunan tangan pelajar Diploma Seni Reka Tekstil, menjadikan gabungan logam dan tekstil satu kombinasi yang menarik dan dan ianya turut mendapat pujian serta perhatian khusus daripada DYMM Sultanah Kelantan.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Presiden World Craft Council (WCC), Asia Pasific Region, Encik Sundeep Kumar selaku tetamu kehormat dan merupakan antara panel penilai dalam mengiktiraf Kota Bharu as a World Craft City. Beliau yang turut melawat pameran memuji dan mengagumi hasil rekaan dan kerja tangan pelajar yang dipamerkan. Menurut Encik Sundeep, UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya memartabatkan pendidikan kraf khususnya pembuatan logam halus dan tekstil, seterusnya menjadikan UiTM sebagai hub pendidikan sekali gus mengukuhkan kedudukan Kota Bharu ke arah pengiktirafan sebagai World Craft City.

Setiap karya yang dihasilkan dalam pameran ini mencerminkan warisan budaya, visi kreatif dan kepakaran logam halus merupakan hasil dedikasi pelajar serta bimbingan pensyarah berpengalaman, bermula dari penghasilan idea sehinggalah kepada penguasaan teknik pembuatan, memastikan asas kukuh dalam aspek seni reka dan kemahiran teknikal. Program ini menggabungkan kemahiran dan inovasi penggayaan kraf tradisional kepada rekaan kontemporari, sekali gus memupuk keaslian rekaan serta ketelitian dalam penghasilan karya.

Selain memartabatkan seni perhiasan tradisional, pameran ini juga memperlihatkan transformasi reka bentuk kontemporari yang relevan dengan cita rasa semasa. Ia bukan sahaja menjadi platform penghargaan seni, malah turut berperanan sebagai ruang untuk memperkukuh kesinambungan warisan perhiasan Melayu, di samping menyumbang kepada pembangunan industri kreatif tempatan.

Penyedia Laporan:
Ts Emilia Abdull Manan
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Ts Rozita Shamsuddin
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Ts Mohd Masdi Abdul Manan
Pensyarah
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Encik Azhar A Aziz
Pensyarah
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Encik Hamdan Lias
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

Puan Anis Ediana Mohd Fauzi
Pensyarah
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka