CHINA, 17 September – Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Cawangan Kelantan telah melaksanakan program kolaboratif antarabangsa bertajuk International Workshop and Exhibition of “From Ancient Trade to Modern Bond: The Art and Culture of China-Malaysia” di Faculty of Art, Guangxi Minzu Normal University (GXMZNU), China. Program ini berlangsung selama lima hari bermula 2 hingga 6 September 2025 sebagai kesinambungan Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai antara UiTM Cawangan Kelantan dan GXMZNU pada 6 Mei 2025.
Seramai 12 orang delegasi dari FSSR UiTM Cawangan Kelantan telah menyertai program ini. Delegasi diketuai oleh Dr. Siti Fairuz Md Hashim (Penyelaras Program, Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital), bersama dua orang pensyarah pengiring iaitu Dr. Adzman Omar (Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Halus) dan Cik Roziani Mat Nasir (Pensyarah, Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital). Turut serta ialah sembilan orang pelajar FSSR, dari Diploma Seni Reka Grafik & Media Digital (AD111), Diploma Seni Reka Tekstil (AD112), Diploma Seni Reka Logam Halus (AD113) dan Diploma Seni Halus (AD118).
Sesi pengenalan dimulakan dengan Welcome Meeting yang melibatkan Ms. Wei Yandan (Timbalan Pengarah International Office), Ms. Joice (Penolong Dekan & Penterjemah), serta para pensyarah Fakulti Seni GXMZNU. Program diteruskan dengan pembentangan mengenai Fakulti Seni GXMZNU oleh Ms. Joice, diikuti sesi perkenalan oleh para delegasi FSSR UiTMCK sebelum diakhiri dengan sesi bergambar.
Sepanjang program, para delegasi telah menyertai siri bengkel seni dan budaya yang dikendalikan oleh pensyarah serta tenaga pengajar GXMZNU. Antara bengkel yang diikuti ialah kelas cat air oleh Guo Yujiao, di mana para delegasi diperkenalkan dengan teknik melukis potret menggunakan medium cat air. Mereka juga berpeluang mempelajari kaligrafi dan lukisan tradisional Cina bersama Mr. Liu Yingjun dan Cai Weiwei, dengan setiap peserta menghasilkan karya kaligrafi yang boleh dibawa pulang sebagai cenderamata.
Seterusnya, dalam bengkel seramik bersama Chen Zhiyong, para delegasi diperkenalkan kepada pelbagai jenis seramik tradisional Cina serta diberi peluang menghasilkan bentuk seramik menggunakan tanah liat. Bengkel ukiran kayu bersama Chen Jun pula memperlihatkan penggunaan teknologi laser cut, di mana reka bentuk komputer dipindahkan ke atas kayu untuk menghasilkan karya berlapis yang unik.
Selain itu, seni gubahan bunga tradisional turut diperkenalkan dalam bengkel bersama He Lihua. Setiap delegasi menghasilkan gubahan menggunakan bunga segar dengan bimbingan tenaga pengajar dan pelajar Fakulti Seni GXMZNU, sebelum hasil gubahan dipamerkan pada akhir sesi. Para delegasi juga mengikuti bengkel kraf tangan Zhuang Brocade bersama Dong Shanliang dan pelajar Huang Jiangyan. Mereka didedahkan kepada sejarah serta keunikan budaya masyarakat etnik Zhuang, termasuk tenunan tradisional Zhuangjin yang terkenal dengan corak naga, burung, bunga dan bentuk geometri. Aktiviti ini diteruskan dengan penghasilan bookmark dan woodframe menggunakan kain tenunan tradisional tersebut, sekali gus memberi pengalaman praktikal serta kefahaman tentang nilai budaya masyarakat Zhuang.
Selain bengkel, pameran bersama bertajuk China-Malaysia Art & Culture Exhibition turut diadakan di Galeri Seni GXMZNU. Pameran ini menampilkan karya pensyarah dan pelajar dari kedua-dua institusi, termasuk hasil seni Dr. Siti Fairuz Md Hashim, Dr. Adzman Omar, dan Cik Roziani Mat Nasir dari FSSR, UiTM Cawangan Kelantan. Majlis penutup telah berlangsung pada 5 September 2025 di Chongyi Building, dengan Deng Xianyi, Pengarah OICE bertindak sebagai moderator. Ucapan penutup disampaikan oleh Mr. Nong Xingguang (Dekan Fakulti Seni, GXMZNU) serta Dr. Siti Fairuz Md Hashim mewakili FSSR UiTMCK. Majlis ini turut diserikan dengan sesi perbincangan dan sesi bergambar sebagai simbol jalinan kerjasama berterusan antara kedua-dua universiti.
Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik dan budaya antara UiTM Cawangan Kelantan dan GXMZNU, malah membuka peluang kepada pelajar untuk mendalami seni dan budaya Cina di samping memperkenalkan seni Malaysia di pentas antarabangsa. UiTM Cawangan Kelantan melalui Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka akan terus komited melaksanakan pelbagai program kolaborasi antarabangsa bagi melahirkan graduan seni yang berdaya saing dalam konteks global.
Penyedia Laporan:
Dr. Siti Fairuz Md Hashim
Penyelaras Program AD111
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
UiTM Cawangan Kelantan
Dr. Adzman Omar
Pensyarah Kanan
Jabatan Seni Halus
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
UiTM Cawangan Kelantan
Cik Roziani Mat Nasir
Pensyarah
Jabatan Seni Reka Grafik & Media Digital
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
UiTM Cawangan Kelantan