MACHANG, 24 Ogos - Bengkel Life Drawing Semester 1 STPM 2025 merupakan satu inisiatif kolaboratif antara Pusat Tingkatan Enam Daerah Machang dan Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK), Kampus Machang. Program ini telah dilaksanakan pada 14 Ogos 2025 bertempat di Studio Jabatan Seni Halus dan Dewan Profesional, UiTMCK, dengan penglibatan seramai 7 orang pensyarah Jabatan Seni Halus UiTMCK, 5 orang guru Tingkatan Enam, serta 100 orang pelajar daripada SMK Machang, SMK Hamzah dan SMK Sri Intan.
Penganjuran bengkel ini berlandaskan usaha untuk memperkukuh jaringan akademik antara sekolah menengah peringkat STPM dengan institusi pengajian tinggi awam, di samping memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang kaedah serta falsafah asas dalam seni lukis akademik. Life Drawing dipilih sebagai fokus kerana ia merupakan disiplin asas yang penting dalam bidang seni halus, terutamanya untuk memahami kadar banding objek, teknik pemerhatian, serta sensitiviti terhadap garis, bentuk dan cahaya.
Selain itu, bengkel ini menjadi ruang perkongsian ilmu antara pensyarah universiti dan guru sekolah, sekali gus membina jambatan pengetahuan yang menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk meningkatkan kualiti pendidikan seni di pelbagai peringkat.
Bengkel Life Drawing ini dianjurkan dengan hasrat utama untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar Tingkatan Enam tentang asas kaedah seni lukis still life. Melalui latihan ini, pelajar dapat memupuk kemahiran pemerhatian yang lebih tajam, di samping menguasai teknik melukis kadar banding objek dengan lebih tepat. Program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan strategik antara UiTMCK dengan sekolah-sekolah Tingkatan Enam daerah Machang, di mana pensyarah, guru dan pelajar dapat berkongsi pengalaman serta pendekatan pengajaran secara langsung. Selain itu, bengkel ini turut membuka ruang bagi para guru untuk mempelajari kaedah terkini dalam pengajaran seni visual yang boleh disesuaikan dengan keperluan kurikulum STPM, manakala pelajar pula berpeluang membina keyakinan diri melalui aktiviti praktikal yang menyeronokkan.
Sesi pendaftaran peserta bermula seawal jam 7.30 pagi di Dewan Profesional UiTMCK. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh Encik Suhadi Razi, wakil pensyarah Jabatan Seni Halus, bagi memperkenalkan tujuan bengkel, peraturan keselamatan, dan agenda bengkel. Bengkel dimulakan dengan pengenalan teori tentang asas life drawing. Pensyarah menerangkan sejarah disiplin ini dalam pendidikan seni, peranan model hidup, serta kepentingan melatih sensitiviti mata dan tangan. Perbincangan turut menekankan nilai pedagogi, di mana life drawing bukan hanya menghasilkan lukisan, tetapi juga mendidik pelajar berfikir secara kritis tentang kadar banding objek bertemakan still life.
Beberapa orang pensyarah melakukan demonstrasi secara langsung dengan menggunakan model still life yang disusun bagi rujukan kepada pelajar. Teknik asas seperti lukisan bersatah, kadar banding objek, teknik goresan garisan dan penggunaan cahaya bayang ditunjukkan. Para pelajar memberikan tumpuan penuh, manakala guru turut mencatat pendekatan pengajaran yang boleh diaplikasi dalam bilik darjah.
Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan diberi tugasan melukis still life secara langsung dengan memilih tempat masing-masing. Pensyarah dan guru bergerak di sekeliling kumpulan untuk memberi bimbingan secara individu.
Selepas sesi melukis, hasil karya pelajar dikumpulkan untuk sesi refleksi. Pensyarah memberi komen membina, menekankan aspek kekuatan serta cadangan penambahbaikan. Guru pula berkongsi pengalaman mereka melihat pendekatan universiti yang menekankan keberanian membuat garis serta penerokaan bentuk.
Bengkel ditutup dengan ucapan penghargaan daripada pihak penganjur UiTM, diikuti penyampaian sijil penyertaan kepada guru dan pelajar.
Penyedia Laporan:
Encik Azharudin Mappon
Pensyarah
Jabatan Seni Halus
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
UiTM Cawangan Kelantan

